ISU demi isu, masalah demi masalah, bencana demi bencana menimpa negara tak kunjung padam. Mungkin malapetaka atau kifarah akibat kelalaian, melampaui batas, keasyikan duniawi melampaui sehingga tidak dapat membezakan dosa dan pahala, jijik dan moral serta keji dan etika.
Sejak kejatuhan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei 2018, Pakatan Harapan (PH) mengambil alih selama 22 bulan dan diganti dengan Perikatan Nasional (PN) 15 bulan, kemudian bertukar lagi sehingga sekarang.
Iklim politik yang tidak menentu bercakaran sesama sendiri, bergocoh sesama musuh maka tumbuhlah parti-parti politik baru bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Juak-juak, pengampu-pengampu serta broker-broker politik giat mencari makan untuk kepentingan perut sendiri bersama kroni.
Salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah tak perlu dihurai, sudah menjadi amalan biasa siapa saja berkuasa.
Benar jadi salah dan salah jadi benar. Pelapor jadi salah yang melakukan dipertahankan. Ini realiti hari ini bagi mereka yang berkuasa. Pembohongan dijadikan retorik alasan memperbodohkan rakyat dengan sedikit pun tidak terasa bersalah.
Bencana demi bencana, Covid-19 dengan pelbagai varian yang meragut banyak nyawa.
Banjir, tanah runtuh, taufan, kebakaran sudah cukup memberi pengajaran kepada rakyat Malaysia yang mempunyai akal budi untuk dijadikan iktibar dan pelajaran. Namun, bukan semuanya sedar, mungkin dianggap sebagai bencana lumrah alam secara kebetulan.
Sampai bila terus berlaku ketidakpastian masa depan negara. Bencana politik oleh kerakusan kuasa yang dipelopori oleh kluster perosak bertopengkan kepura-puraan sedang menghumban negara ke dalam “longgokan sampah”. Rakyat jadi korban permainan “mempolitik” setiap aspek kehidupan.
Bencana politik menyebabkan kegagalan menangani krisis kesihatan akibat Covid-19 walaupun lebih 90 peratus sudah divaksin, namun jangkitan dan kematian terus meningkat.
Apa puncanya? Seolah tiada jawapan. Krisis ekonomi sedang menuju negara bankrup. Hutang negara makin bertimbun kepada RM1.3 trilion. Hasil negara pula semakin merosot, kos sara hidup semakin meningkat, pengangguran terus bertambah, harga barang makanan terus melambung. Apakah seterusnya akan berlaku?
Hanya rakyat yang boleh mengubati penyakit negara dengan menggunakan kuasa memilih pemimpin yang layak boleh memimpin.
Kecenderungan rakyat yang masih “terpikat” dengan pemimpin kluster perosak disebabkan taksub, dedak dan “terpukau” oleh “aura kepuraan” sukar untuk memulihkan negara yang semakin tenat.
Selagi segala kemungkaran menjadi biasa dan kebenaran “luar biasa”, maka selama itu rakyat akan menanggung derita. Nasib Negaraku Malaysia. – MalaysiaGazette
Penulis, Nasir Othman adalah Ahli Dewan Tertinggi dan Pengerusi Perhubungan Putra Pulau Pinang.