Home Utama Mahkamah tolak rayuan Khairy, arah bayar RM150,000 kepada Anwar

Mahkamah tolak rayuan Khairy, arah bayar RM150,000 kepada Anwar

Khairy Jamaluddin

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini sebulat suara menolak rayuan rayuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung tuntutan saman fitnah oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkaitan ceramah di Lembah Pantai, 13 tahun lalu.

Sebaliknya, tiga panel hakim diketuai oleh Datuk Lee Swee Seng sebulat suara menolak rayuan kenyataan ‘main belakang’ oleh Menteri Kesihatan itu selain memerintahkan beliau membayar kos ganti rugi sebanyak RM150,000 kepada Anwar.

Turut bersidang atas talian pagi ini ialah Hakim Datuk Darryl Goon Siew Chye dan Hakim Datuk Ghazali Cha.

Pada 29 September 2017, Mahkamah Tinggi memutuskan Khairy memfitnah Anwar dan menolak permohonannya untuk mengubah pernyataan pembelaan.

Pada 19 Februari 2018, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Menteri Kesihatan itu atas sebab teknikal tanpa meritnya didengar.

Namun pada 15 Disember 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Khairy dan mengarahkan Mahkamah Rayuan mendengar meritnya.

Sejurus selepas keputusan disampaikan, peguam mewakili Khairy, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendedahkan pihaknya akan membawa kes ini kepada Mahkamah Persekutuan dalam masa terdekat.

Anwar yang juga Presiden PKR pula diwakili oleh Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Sebelum ini ketika prosiding sebelum-sebelum ini, Sri Ram ketika berhujah perkataan yang diucapkan oleh Khairy membawa maksud memfitnah terhadap Anwar.

Anwar Ibrahim

“Dalam hal ini, adalah penting untuk diingat bahawa perkataan atau kenyataan yang dikompelin oleh Anwar ialah: ‘Anwar main dua-dua ikut belakang.’

“Dalam pengertian Bahasa Melayu yang biasa dan difahami oleh rakyat Malaysia (sama ada beliau Melayu atau tidak) perkataan itu merujuk kepada hanya satu perlakuan iaitu, dalam konteks ia diucapkan, homoseksualiti,” hujahnya.

Manakala pada prosiding 2 November 2021, Muhammad Shafee berhujah ucapan Khairy semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008 adalah merujuk kepada gabungan atau kerjasama antara parti pembangkang bagi menghadapi pilihan raya itu dan tidak mempunyai kaitan dengan kes liwat Anwar.

Dakwa Muhammad Shafee Khairy bercakap mengenai gabungan atau kerjasama antara parti pembangkang iaitu Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP semata-mata bagi tujuan menghadapi pilihan raya.

Anwar menyaman Khairy, yang ketika itu Menteri Belia dan Sukan serta Naib Ketua Pemuda UMNO, pada 7 Mac 2008 mendakwa Khairy membuat kenyataan memfitnahnya dalam ceramah di Lembah Pantai pada 20 Februari tahun sama dan menyebabkan klip video bertajuk ‘Anwar and kin no threat’ disiarkan di portal berita. – MalaysiaGazette