Home Seni Hidup Jangan munafik bila jadi duta produk – Khai Bahar

Jangan munafik bila jadi duta produk – Khai Bahar

Penyanyi, Khai Bahar ketika sidang media album zikir damba ketenangan di Hotel Pearl, Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 12 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Penyanyi popular, Khair Bahar meluahkan rasa syukur kerana rezekinya tidak putus-putus apabila kini dilantik duta produk tub makanan ringan berasaskan coklat dan bijirin jenama Chocoalbab.

Kata lelaki kelahiran Perlis itu, rezeki sudah tertulis dengan produk tempatan keluaran CLA Empire Sdn. Bhd. kerana dia pernah menolak tawaran pertama syarikat itu menjadi duta sebelum ini.

“Biarpun lamaran jenama itu saya tolak dengan baik buat kali pertama kerana terikat dengan pelbagai komitmen lain termasuk menyanyi dan berlakon, mereka tidak rputus asa.

“Tidak boleh cara begitu dan begini, mereka guna pula insan yang saya baik. Nampaknya menjadi juga usaha itu kerana saya akhirnya mengalah.

“Tambah pula saya penggemar coklat. Siapa yang tidak suka coklat? Dipendekkan cerita sejak Januari lalu, saya ‘diikat’ mereka.

“Saya pun bukan jenis yang sesuka hati mempromosikan produk makanan khususnya. Kalau tidak sedap, saya takkan terima jadi duta. Saya tidak mahu dilihat seperti ‘munafik’ mempromosikan makanan tidak sedap hanya kerana dibayar,” katanya yang baru baru ini melancarkan single terbaharu berjudul Damba.

Khai Bahar kini menjadi duta Chocoalbab sejak Januari lalu.

Kata Khai atau nama sebenar, Muhammad Khairul Baharuddin, 27, berkata, dia sudah terbiasa menjadi sikap dan tabiatnya melakukan sesuatu dengan ikhlas.

Jadi tidak pelik, pemilik empayar jenama produk itu, Said Saiful Fazli memuji sikap tidak berkira penyanyi lagu Luluh berkenaan yang pernah melakukan promosi produk itu lebih 19 kali dalam tempoh sebulan tanpa mengenal waktu.

“Saya bukan hendak tunjuk baik. Cuma ia lebih kepada sikap hakiki manusia. Saya percaya orang lain pun mungkin akan buat benda sama.

“Makanan sedap wajar dikongsi. Lagipun orang bayar kita jadi duta, semestinya kena ligat promosi. Perasaan semangat nak promosi produk ini menjadi jadi kerana macam saya katakan tadi, segala jenis makanan berasaskan coklat menjadi kegemaran.

“Dalam hal berlebih lebih mempromosikan ini daripada apa yang ditetapkan, saya percaya ia berbalik kepada soal timbal balik sesuatu perkara. Mungkin sudah jadi sikap saya sebegitu. Pemilik jenama itu pun bersikap profesional dan tidak berkira, jadi saya pun tak kisah nak ‘belanja’ lebih mempromosikannya. Orang baik dengan kita, tak salah kita buat benda sama,” kata pelakon drama Shakira itu.

Diusik persoalan apakah tindakannya itu mungkin didorong bayaran yang diterima dan difahamkan cukup lumayan, Khai hanya tersenyum penuh makna.

“Cukuplah saya katakan ia sangat memuaskan hati saya. Di sebalik lamaran jenama ini yang ditolak pada mulanya, saya percaya ada hikmah dan rezeki tertulis.

“Tambah dengan situasi pandemik Covid-19 yang masih berlarutan di negara kita, saya harus fikir soal ke depan. Saya kena bijak berbelanja dan melakukan simpanan untuk hari tua.

“Biarpun agenda dan aktiviti seni sudah diberi kelonggaran, saya percaya kita kena bersedia menjana pendapatan lain. Kita tak tahu apa yang mungkin terjadi esok, lusa,” katanya.

Tambah anak jati kelahiran Perlis ini lagi, paling mengujakan apabila penggambaran video promosi jenama itu memakan masa hampir 12 jam.

“Bayangkan dalam tempoh itu demi mendapatkan sudut terbaik dan memuaskan hati pihak jenama, saya sampai kena makan berpuluh puluh tub coklat itu.

“Mujurlah yang masuk perut, makanan disukai. Jadi, layanlah juga. Penat itu biasalah, tapi ditolak ketepi. Janji semua ‘happy’ dan puas hati,” katanya.

Diaju soalan mengenai sesetengah figura popular yang berkira kira mempromosi produk sama ada dibayar atau sebaliknya, selain menjaga kandungan di muat naik di media sosial, Khai percaya semua berbalik kepada diri masing masing.

“Saya tak boleh nak komen hal itu berdasarkan kapasiti atau pandangan orang lain. Lain orang, lain caranya. Cuma menjadi amanah kita mempromosikan sesuatu produk atau jenama apabila dibayar khidmat itu. Kalau sebaliknya, itu lain cerita,” katanya yang sedang menghitung hari menjayakan Konsert Nafas Cinta, Khai Bahar pada 12 Februari ini di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJ Pac). – MalaysiaGazette

 

Khai Bahar (kanan) bersama Said Saiful Fazli.