Home Nasional Mesej viral sindiket culik, jual organ adalah palsu – PDRM

Mesej viral sindiket culik, jual organ adalah palsu – PDRM

PDRM
Seorang pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muadzam Shah, Pahang maut manakala ibunya cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 40 Jalan Seremban-Tampin berhampiran Rumah Rakyat Kendong, Rembau dekat sini, semalam.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebaran mesej mengenai sindiket penculikan yang mensasarkan kanak-kanak berusia bawah 15 tahun bagi mendapatkan organ-organ tertentu untuk dijual disahkan palsu.

Superintendan Komunikasi Korporat Urus Setia Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Superintendan Skandaguru Anandan berkata, semakan mendapati mesej palsu tersebut telah tular sejak tahun 2016 dan kembali diulang siar di beberapa platform media sosial.

Beliau turut menegaskan bahawa tiada sebarang amaran sedemikian pernah dikeluarkan oleh Bukit Aman.

“PDRM telah mengesan sebaran mesej palsu di platform media sosial yang memberi amaran kepada rakyat Malaysia agar berwaspada berhubung satu sindiket penculikan yang mensasarkan kanak-kanak berumur di bawah 15 tahun bagi mendapatkan organ-organ tertentu untuk dijual.

“Sindiket penculikan itu didakwa menggunakan sebuah kereta Proton Wira dan sebuah van berwarna putih.

“Mesej tersebut juga menyenaraikan harga bagi organ-organ yang dijual seperti jantung, hati, paru-paru, buah pinggang dan mata serta mendakwa amaran yang dikeluarkan adalah daripada pihak ‘Gerakan IPK Bukti Aman’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Skandaguru berkata, PDRM mengesahkan tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan kes penculikan dan penjualan organ manusia seperti yang didakwa.

Justeru, katanya, orang ramai dinasihati untuk tidak mudah percaya dengan berita-berita yang tidak berasas dan tidak ditentukan kesahihannya.

“Tindakan berkongsi atau menyebar berita-berita sedemikian akan menimbulkan kegusaran dan kebimbangan kepada masyarakat,” tegasnya. – MalaysiaGazette