JAKARTA – Indonesia telah melarang sementara kemasukan pelancong asing melalui lapangan terbang di sini dalam usaha memperlahankan lonjakan jangkitan varian Omicron.
Negara ini menyaksikan peningkatan kes, dengan lebih 36,000 jangkitan direkodkan pada Ahad dan kadar penghunian katil di hospital di ibu negara mencapai 63%.
Langkah menghalang pelancong terbang ke Jakarta dibuat hanya beberapa hari selepas Bali mengalu-alukan penerbangan antarabangsa pertama sejak hampir dua tahun.
Peraturan baharu itu terpakai kepada pelancong asing dan warga Indonesia yang melancong ke luar negara untuk bercuti, kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Keputusan untuk “menghadkan sementara ketibaan pelancong” bertujuan untuk memperlahankan penularan koronavirus, kata Ketua Pengarah Penerbangan Awam, Novie Riyanto.
Bagaimanapun, para pelancong yang terbang dari luar negara masih boleh tiba di lapangan terbang Bali, begitu juga di Batam dan Tanjung Pinang di Kepulauan Riau dekat Singapura.
Polis juga telah melaksanakan perintah berkurung di pusat bandar Jakarta dari tengah malam hingga 4 pagi.
Pegawai Indonesia telah memberi amaran bahawa lonjakan dalam kes yang didorong oleh varian Omicron mungkin tidak memuncak sehingga akhir Februari. – Reuters (https://www.reuters.com/world/asia-pacific/indonesia-bans-foreign-tourist-arrivals-jakarta-airport-covid-19-spikes-2022-02-07/)