KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri NajibĀ Razak menyarankan syarikat perladangan sawit mengambil pekerja kontrak dengan gaji luar biasa sehingga RM8,000 sebulan bagi mengatasi masalah tenaga kerja.
Menurutnya, ketika ini harga sawit telah menghampiri RM6,000 satu tan.
Katanya, perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan oleh banyak negara berikutan pandemik Covid-19 telah menyebabkan pengeluaran pelbagai jenis minyak masak dihadkan dan stok diturunkan.
Malah negara pengeluar sawit terbesar Indonesia mula mengehadkan eksport hingga menyebabkan stok minyak sawit berkurangan di pasaran sekaligus menaikkan harga komoditi itu.
“Bagi mengambil kesempatan peluang ini dan untuk menyelesaikan masalah kenapa syarikat-syarikat perladangan Malaysia tidak tawarkan kontrak pekerjaan jangka masa pendek selama tiga hingga enam bulan dengan gaji yang luar biasa tinggi sebanyak RM6,000 hingga RM8,000 sebulan dengan ganjaran one off pada akhir kontrak kepada warga Malaysia?
“Mana tahu selepas kontrak tamat, ada juga warga Malaysia akan teruskan kerjaya mereka dalam bidang ini,” kata Najib.
Tambah bekas Menteri Kewangan itu, pekerja kontrak berkenaan juga patut diberi bonus yang besar
Ini memandangkan syarikat perladangan sawit mendapat untung berganda berikutan kenaikan harga komoditi itu yang jarang berlaku.
“Syarikat perladangan tak rugi apa-apa pun malah mampu raih keuntungan tambahan dengan peningkatan pengeluaran pada harga sawit yang tinggi ketika ini.
“Ianya juga memberi peluang kepada mereka yang terjejas akibat lockdown separuh masak berbulan-bulan lamanya untuk bina semula simpanan mereka disamping menaikkan nilai eksport negara,” katanya.
Menurut Najib, pekerjaan kontrak jangka masa pendek dengan gaji tinggi bukan perkara luar biasa bagi sektor pertanian.
Negara seperti Australia dan New Zealand sudah lama menawarkan pekerjaan kontrak pada setiap musim menuai sehingga ada warga Malaysia turut tertarik untuk merebut peluang tersebut.
Media sebelum ini melaporkan syarikat perladangan sawit di Malaysia berdepan realiti sukar kerana di sebalik rali harga yang tinggi, terdapat ribuan pekerjaan yang tidak dimahukan oleh sesiapa.
Walaupun harga tinggi kebiasaannya menggalakkan penanaman dan pengeluaran hasil, output di Malaysia yang juga pengeluar sawit kedua terbesar dunia merosot ke paras terendah dalam tempoh lima tahun pada 2021.
Syarikat-syarikat menjelaskan bahawa puncanya adalah disebabkan kekurangan pekerja yang paling buruk pernah dialami industri itu.
Sektor perlandangan tidak diminati rakyat tempatan kerana dianggap kotor, berbahaya dan sukar.
Kerja tersebut kebanyakannya dilakukan oleh pekerja asing yang merangkumi kira-kira 85 peratus tenaga kerja.
Syarikat perladangan berdepan penurunan bekalan pekerja selama beberapa tahun kerana kebanyakannya yang juga rakyat Indonesia, memilih untuk kembali ke negara mereka kerana tawaran gaji lebih baik atau memilih pekerjaan di bandar.-MalaysiaGazette
Satu edia bernas datok Sri. Peneroka felda dapat hasil ladang 300 sebulan cantik lah kalau bayar gaji buroh 8000 sebulan . Duit datok berbilion tu pun tak luak langsung . Kalau sebelum datok buat global dulu paling rendah pendapatan peneroka 2000 sebulan . Cantik kalau datok boleh jadi PM balik . Boleh bereskan cita2 datok yang terbengkalai