Home Nasional Cari jalan tangani hakisan pantai Batu Feringghi – CAP

Cari jalan tangani hakisan pantai Batu Feringghi – CAP

GEORGE TOWN – Hakisan tebing pantai di Batu Feringghi khususnya di bahagian Pantai Mas di sini didapati teruk sekali gus mencacatkan keindahan pantai yang menjadi tarikan pelancong.

Lebih parah apabila tindakan segelintir pihak meletakkan batu sebagai penahan berlaku hakisan itu mengancam keselamatan pengunjung serta menjadikan kawasan pantai itu semakin sempit.

Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) NV. Subbarow berkata, pihaknya banyak menerima aduan berhubung bongkah batu yang ditempatkan berhampiran hakisan tanah itu sejak penghujung tahun lalu.

Subbarow.

Jelas beliau, hasil tinjauan pihaknya mendapati hakisan itu berlaku sejak tahun lalu membabitkan sepanjang hampir dua kilometer dan bagi memastikan runtuhan tidak berlaku ada pihak meletakkan bongkah batu.

Kata Subbarow, lebih 20 pokok kelapa di itu sudah tumbang sehingga Januari lalu dan mereka bimbang jika ia tidak diatasi akan membabitkan nyawa pengunjung pada masa akan datang.

“Apa yang hendak ditegaskan di sini adalah tindakan mereka meletakkan batu itu salah kerana tiada sebarang penghadang lain dilakukan menyebabkan batu-batu itu dibawa ombak hingga ke pesisiran pantai.

Subbarow menunjukkan keadaan hakisan pantai di Batu Feringghi, hari ini.

“Bongkah batu itu juga telah mengubah pemandangan pesisir pantai selain dikhuatiri mendatangkan kecederaan kepada pengunjung.

“Tidak cukup dengan itu, tiada papan tanda amaran yang menandakan supaya orang ramai berhati-hati di kawasan berbatu tersebut,” katanya ketika ditemui di lokasi hari ini.

Mengulas lanjut Subbarow berkata, bongkah batu dan kawasan hakisan hanya terletak tidak jauh daripada beberapa hotel terkemuka sekali gus mengundang bencana kepada pelancong kerana tidak mengetahui bahaya yang sedang menanti.

“Sehubungan itu, kita menggesa kerajaan Pulau Pinang dan pihak berkaitan supaya menggunakan kaedah lain menghalang hakisan pantai menggantikan bongkah batu berkenaan.

Subbarow menunjukan bongkah batu yang dijadikan penghadang hakisan dibawa ombak hingga ke pesisiran pantai.

“Meletakkan bongkah batu di kawasan ini adalah tidak wajar dan perlu fikirkan kaedah lain yang lebih selamat bagi mencegah hakisan,” kata beliau.

MalaysiaGazette pada 6 Januari lalu melaporkan sebuah menara tinjau Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Pulau Pinang setinggi kira-kira 10 meter, tumbang dipercayai berpunca akibat hakisan ombak besar yang berlaku di pesisir pantai itu sejak penghujung tahun lalu. – MalaysiaGazette