Home Utama SPRM serbu, rakam keterangan saksi Mara Corp lebih 8 jam

SPRM serbu, rakam keterangan saksi Mara Corp lebih 8 jam

Dua pegawai SPRM kelihatan meninggalkan ibu pejabat MARA selepas mengambil dokumen dan merakam keterangan saksi bagi membantu siasatan penyalahgunaan kuasa di Bangunan Mara, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 07 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pejabat Majlis Amanah Rakyat Corporation (Mara Corp) di sini selesai selepas lebih lapan jam mengambil keterangan saksi dan meneliti dokumen bagi siasatan kes penyalahgunaan kuasa.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati seramai empat pegawai SPRM beredar dari pejabat Mara Corp kira-kira pukul 6.53 petang tadi hanya membawa sebuah kotak dipercayai dokumen penting milik agensi tersebut.

Serbuan di pejabat Mara Corp yang terletak di Jalan Tunku Abdul Rahman itu merupakan sebahagian operasi agensi penguat kuasa itu terhadap dua lokasi lain secara serentak hari ini termasuk di Jalan Mara dan Jalan Bukit Bintang.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf membuat laporan polis berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam agensi itu.

Mungkin lebih banyak pendedahan dibongkar berkaitan salah guna kuasa membabitkan segelintir pegawai Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Mara Corp dalam masa terdekat.

Pagi tadi, media melaporkan SPRM sudah memulakan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa membabitkan beberapa pegawai kanan Majlis MARA hari ini susulan beberapa siri pendedahan di laman sosial. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

SPRM serbu tiga premis MARA