KUALA LUMPUR – Penutupan sekolah merupakan jalan terakhir sekiranya penularan Covid-19 di dalam sektor pendidikan menjadi semakin buruk.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa berbincang mengenai penularan wabak berkenaan dengan institusi pendidikan ketika selain mengambil langkah mitigasi meneruskan penilaian risiko berdasarkan sekolah.
Bagaimanapun, katanya, ketika ini tiada jangkitan kategori empat dan lima dalam kalangan pelajar yang dijangkiti Covid-19.
“Penutupan sekolah memberi kesan yang besar terhadap pembangunan sama ada intelek dan sahsiah diri pelajar. Pandangan KKM buat masa ini ialah penilaian risiko di peringkat sekolah dan sekiranya ada keperluan, kita minta mereka yang positif supaya jangan datang kesekolah atau diasingkan.
“Penutupan sekolah adalah langkah terakhir yang akan diambil,” katanya pada sidang media hari ini.
Menurut Khairy, pelajar yang positif tidak perlu hadir ke sekolah dan kelas yang mempunyai kes jangkitan akan ditutup sementara.
Ujarnya, keputusan untuk pelajar kembali berada di rumah merupakan langkah terkebelakang.
“Dengan adanya 90 peratus daripada remaja kita sudah divaksinasi, lebih 90 peratus guru sudah divaksinasi dan selepas ini kanak-kanak juga divaksinasi, apa lagi yang boleh kita lakukan” ujarnya.
Khairy berkata, peningkatan kluster pendidikan disumbangkan oleh pelajar di sekolah berasrama.
Sementara itu, pihaknya sangat menggalakkan majikan di negara ini untuk meneruskan dasar bekerja dari rumah (BDR) bagi memastikan persekitaran tempat kerja yang selamat untuk pekerja.
Jelasnya, kementerian juga menggalakkan sistem penggiliran kehadiran ke pejabat ketika kes Covid-19 semakin meningkat berikutan jangkitan varian Omicron.
Tambah beliau, perkara itu sudah dibincangkan dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pagi tadi.
“Pagi tadi saya bincang dengan Menteri Kewangan dan bersetuju bahawa buat masa ini kerajaan sangat menggalakkannya bagi mengimbangi kesihatan awam dan pemulihan ekonomi,” katanya.
Khairy berkata, majikan juga dinasihati membantu pekerja melaksanakan ujian saringan Covid-19 terutama kakitangan yang bergejala selain, menyedia kit ujian saringan kepada pekerja yang sukar mendapatkannya serta memberikan pelitup muka berkualiti.
Mana-mana majikan yang ingin melakukan pengubahsuaian sistem pengudaraan di pejabat dan tempat kerja, boleh mendapatkan insentif daripada Kementerian Kewangan.
Dalam perkembangan berkaitan, Khairy memaklumkan KKM masih merancang proses kebenaran untuk merapatkan saf jemaah di masjid.
Jelasnya, ketika ini, pihaknya memberi tumpuan terhadap penularan jangkitan Covid-19 varian Omicron.
“Apa-apa pun perancangan KKM untuk ke arah keterbukaan yang lebih besar masih lagi dalam perancangan. Cuma kita hold sekejap nak tengok gelombang ini selesai, selepas itu kita sedia,” tambahnnya. – MalaysiaGazette