KOTA KINABALU – Syarikat Eliis, peneraju bidang analisis pentafsiran subpermukaan dan geosains antarabangsa menyumbangkan lima lesen perisian akademik (Paleoscan) beserta sokongan teknikal dan latihan penggunaan bernilai RM3 juta bagi memantapkan ilmu geologi di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Penyampaian lesen tersebut disempurnakan Naib Presiden Eliis Rantau Asia Tenggara (SEA), Jusmila Baharom kepada Dekan Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) UMS, Profesor Dr. Jualang @ Azlan Gansau baru-baru ini.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk. ChM. TS. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, kerjasama UMS-Eliis merupakan satu langkah proaktif dalam tambah
nilai dan memantapkan ilmu geologi, penjelajahan petroleum dan permodelan subpermukaan yang akan memberikan manfaat bersama, terutamanya kepada pelajar prasiswazah selain pascasiswazah.
”Menerusi kepakaran dalam bidang pemprosesan data dan kejuruteraan komputer, syarikat yang berpengkalan di Perancis ini berjaya menghasilkan sebuah perisian generasi baharu dikenali sebagai PaleoScan yang kini digunapakai syarikat multinasional yang berasaskan minyak dan gas.
”Selari dengan perkembangan teknologi industri revolusi 4.0 (IR4.0), PaleoScan yang dimiliki oleh Eliis mempunyai kapasiti yang baik untuk menjadi perantara dalam menggabungkan kecerdasan buatan (AI) dengan kepintaran manusia,” katanya.
Menurut Taufiq, lima lesen PaleoScan dan latihan yang diterima itu secara tidak langsung memberikan manfaat kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP) kursus dalam Program Geologi meliputi Petroleum Geologi, Geofizik, Penilaian formasi, Geologi Struktur dan Geologi Rantau.
Faedah ini turut memberi manfaat kepada projek penyelidikan pensyarah dan juga pelajar pascasiswazah FSSA khususnya Pensyarah Geologi.
UMS juga mengharapkan menerusi kerjasama ini akan ada ruang dan peluang untuk sebarang kerjasama penyelidikan yang bukan sahaja memberi impak ekonomi tetapi juga impak sosial pada akan datang. – MalaysiaGazette