Home SISWA UM cipta mesin steril pelitup muka pertama di Malaysia

UM cipta mesin steril pelitup muka pertama di Malaysia

Mesin Ultravoilet C (UVC)

KUALA LUMPUR – Sekumpulan penyelidik Universiti Malaya (UM) telah membangunkan mesin steril pelitup muka pertama di Malaysia yang akan dapat memberi manfaatkan kepada sektor perubatan tanah air dan mampu menjimatkan jutaan ringgit.

Mesin Ultravoilet C (UVC) ini dibangunkan dengan gabungan sinaran ultraungu (UV) yang dapat nyah cemar atau steril pelitup muka yang telah digunakan.

Ketua Penyelidik, Dr. Mohd Ridha Muhammad, berkata pembangunan mesin ini menyerupai set gelombang mikro yang membolehkan pelitup muka dinyah cemar dari Covid-19 serta virus lain dan membolehkan pelitup muka tersebut digunakan semula.

“Seperti yang kita semua tahu, kegunaan Ultraviolet (UV) ini adalah berkesan bagi nyah cemar virus dan rekaan mesin ini direka khas bagi nyah cemar pelitup muka.

”Idea dan rekaan mesin ini adalah inisiatif Pakar Perubatan Pusat Perubatan Universiti Malaya bersama Penyelidik Fakulti Kejuruteraan dalam menangani isu kekurangan peralatan pelindung diri (PPE),” katanya.

Jelasnya, proses nyah cemar pelitup muka hanya mengambil masa selama 7 minit dan proses ini mampu nyah cemar pelitup muka dari virus COVID-19 dan virus-virus lain.

Mesin ini direka dengan 9 kotak individu yang diperbuat dari Quartz Glass bagi proses nyah cemar pelitup muka dijalankan, ini bagi membenarkan UVC melepasi bekas dan sampai kepada pelitup muka dan mengelakkan jangkitan silang.

Dr. Ridha menambah, pembangunan dan pengkomersialan mesin ini dilihat akan memberikan impak yang besar di peringkat global.

Pakar perubatan kesihatan awam, Pusat Perubatan Universiti Malaya dan juga Ketua Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan (SPM), Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Profesor Dr. Victor Hoe Chee Wai Abdullah berkata, inovasi seperti ini amat diperlukan dalam kita masih bersama-sama berjuang dalam memerangi dan membendung penularan Covid-19. – MalaysiaGazette