Home Seni Hidup Penyumbang emas Paralimpik Tokyo dianugerah Datuk

Penyumbang emas Paralimpik Tokyo dianugerah Datuk

Atlet paralimpik negara, Abdul Latif Romly foto FAREEZ FADZIL.

KUALA LUMPUR – Penyumbang pingat emas negara pada Sukan Paralimpik 2020 Tokyo Abdul Latif Romly, 25, menerima pingat Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W) yang membawa gelaran Datuk.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh laman rasmi Majlis Sukan Negara Malaysia hari ini. Anugerah tersebut sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan.

“Tahniah! Datuk. Atlet Para Olahraga Abdul Latif Romly terima pingat Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W) yang membawa gelaran Datuk,” katanya.

Foto- FB Majlis Sukan Negara Malaysia

Abdul Latif menjadi tumpuan selepas menutup tirai Sukan Paralimpik 2020 dengan kilauan emas sekali gus melengkapkan sasaran kontinjen negara pada temasya di Tokyo.

Atlet itu melalui episod dramatik sebelum mengesahkan pingat emas dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) di Stadium Olimpik, Tokyo yang dibasahi hujan.

Abdul Latif mengalami kecederaan ketika lompatan kelima apabila salah mendarat dan mencetuskan kesakitan di bahagian pangkal paha, sehingga terpaksa dibawa menaiki kerusi roda.

Tiada pencabar lain yang berjaya mengatasi lompatan terjauh pemenang emas edisi lalu di Rio 2016, yang berjaya dilakukan oleh Abdul Latif dalam percubaan kedua dengan catatan dengan 7.45 meter – MalaysiaGazette