Home Nasional AGC tolak permohonan representasi keluarga Abdul Azeez kes lucut harta RM16juta

AGC tolak permohonan representasi keluarga Abdul Azeez kes lucut harta RM16juta

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Permohonan representasi ahli keluarga bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim bagi kerajaan lucut hak harta bernilai RM16 juta ditolak Jabatan Peguam Negara (AGC).

Sebelum ini kerajaan telah memohon untuk melucut hak harta keluarga Abdul Azeez yang didakwa hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram.

Ketika prosiding hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Tunggi, Muhammad Jamil Hussin, Timbalan Pendakwa Raya, Nik Haslinie berkata, perkara itu telah dimaklumkan melalui surat kepada peguam responden pada 4 Februari lepas.

Pihak pendakwaan telah menerima dua afidavit daripada responden namun memerlukan masa bagi mengkaji fakta terkandung di dalamnya terlebih dahulu.

Peguam mewakili responden turut memaklumkan kepada mahkamah sudah menerima surat terbabit dan memerlukan masa untuk memasukan hujahan baharu.

Kata peguam Prem Ramachandran, anak guamnya akan mengemukakan afidavit sumber dana yang sah dalam masa terdekat.

Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim. Foto AFFAN FAUZI, 12 MAC 2021.

Hakim Jamil kemudian menetapkan 21 Jun untuk mendengar permohonan pendakwaan untuk melucut hak harta berkenaan.

Pada Januari lalu, ahli keluarga Abdul Azeez dan syarikat mereka memfailkan representasi berhubung permohonan kerajaan untuk melucut hak pada November lalu.

Kerajaan memohon untuk melucut hak harta isteri Abdul Azeez iaitu Datin Seri Khadijah Mohd Noor dan empat anak mereka termasuk Azeera Management Consultants (M) Sdn Bhd.

Prem yang mewakili kesemua pihak itu selaku responden berkata, representasi berkenaan dikemukakan kepada AGC.

Mahkamah Tinggi menolak permohonan keluarga berkenaan untuk menangguhkan prosiding saman kerajaan itu sementara perbicaraan kes rasuah Abdul Azeez yang sedang berjalan di Mahkamah Sesyen di sini selesai pada 18 Disember 2020.

Abdul Azeez berdepan dengan tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah, serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan hampir RM140 juta, yang didakwa diterima daripada syarikat Menuju Asas Sdn Bhd. -MalaysiaGazette