Home Politik Zahid ingatkan jentera berhati-hati, pembangkang akan ulangi fitnah ala PRU14

Zahid ingatkan jentera berhati-hati, pembangkang akan ulangi fitnah ala PRU14

Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengingatkan jentera parti agar berhati-hati sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana gerak kerja fitnah ala PRU 14 sedang diulangi musuh.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, modus operandi yang sama iaitu menjadikan pimpinan BN sebagai sasaran persepsi untuk menghasut rakyat kepada politik kebencian.

Katanya, fitnah yang dibangkitkan pihak lawan ialah berhubung teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), Genting Hong Kong, dadah sehingga kepada propaganda botol minuman.

“Percayalah itu cuma mukadimah. Tentunya rakyat khususnya Bangsa Johor akan dihidangkan dengan lebih banyak fitnah dan propaganda jahat.

“Namun, mungkin ada hikmah di sebaliknya kali ini kerana menjadi bukti nyata nilai politik sebenar mereka yang menghembuskan penipuan dan pembohongan.

“Rakyat kini dapat mengetahui dan memahami dengan lebih jelas yang mana intan atau kaca. Yang mana kebenaran dan yang mana kebatilan,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, apabila berada dalam keadaan terdesak, pembangkang atau musuh BN tidak menghiraukan tindak tanduk memfitnah itu salah dan tiada keberkatan.

Katanya, mereka tidak akan hirau tiada keberkatan menang dengan fitnah dan pembohongan.

“Lihatlah kekalutan pentadbiran mereka apabila diberi kuasa. Mana mereka peduli kesan buruk politik fitnah dan adu domba terhadap rakyat dan negara, asalkan dapat memuaskan serakah serta kesumat.

“Mereka akan bergerak dengan “full throttle” untuk PRN Johor kerana begitu terdesak untuk menyekat kemaraan BN.

“Bagi mereka, jika BN bangkit di Johor bermaksud kebangkitan BN sudah tidak mampu dihalang. Justeru, mereka akan melakukan apa sahaja,” katanya.

Katanya, dengan apa acara sekali pun, tanpa menghiraukan halal atau haram, sama seperti PRU-14, musuh BN akan berusaha menamatkan kemaraan parti itu.

Bagaimanapun, jelas Ahmad Zahid, muslihat mereka pastinya gagal sekiranya Bangsa Johor berbilang kaum dan agama bertekad untuk bermuafakat.

Tegasnya, Johor bermuafakat untuk mengembalikan kemakmuran, kesejahteraan dan kestabilan lalu yang telah dirampas oleh fitnah dan tipu daya pada 9 Mei 2018.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, beliau mengingatkan jentera BN agar tidak memandang enteng dan mudah dengan PRN Johor ini.

Ini katanya, berikutan suasana dan landskap politik antara Johor dengan PRN Melaka pada November lalu tidak sama.

“PRN Johor ini bukan suatu pilihan raya yang mudah. Jadi, jangan pandang enteng, jangan pandang ringan.

“Benar, kemenangan di Melaka memberi semangat kepada kita, tetapi suasana politik di negeri itu berbeza dengan suasana politik di Johor. Di Melaka, kita lihat faktor yang memberi kemenangan berlebihan itu sesuai dengan kerajaan di Melaka.

“Di Johor, landskap politiknya berbeza, jangan disebabkan kemenangan besar di Melaka, maka kita terlalu yakin seolah-olah Johor akan menang besar seperti di Melaka,” katanya. – MalaysiaGazette