Home Nasional Peniaga Lorong Kelicap rayu MBPP tangguh roboh gerai

Peniaga Lorong Kelicap rayu MBPP tangguh roboh gerai

Peniaga kedai runcit dan makanan di Lorong Kelicap, Bayan Lepas menunjukkan notis pengosongan premis yang diterima mereka.

BAYAN LEPAS – Kira-kira 25 peniaga makanan dan barangan runcit di Lorong Kelicap di sini berharap agar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dapat memberi pertimbangan untuk tidak merobohkan gerai mereka dalam masa terdekat.

Rata-rata mereka memohon penangguhan meroboh gerai yang dibina sejak tahun 2005 selain meminta kerajaan negeri memberikan tapak niaga baharu sebagai ganti.

Peniaga kedai runcit, Rokiah Bakar, 54, berkata, tindakan MBPP serta Pejabat Tanah dan Daerah memberikan notis untuk mengosongkan premis serta-merta  tidak wajar memandangkan mereka sudah berniaga di situ hampir 17 tahun.

Selain ia merupakan mata pencarian utama keluarga masing-masing.

Rokiah.

Jelasnya, pihak berkaitan memberi alasan operasi gerai tersebut telah menyebabkan kacau ganggu lalu lintas penduduk pangsapuri Mutiara Perdana 2 namun tiada sebarang perbincangan dibuat sehingga ke hari ini.

“Memang kami dirikan gerai secara haram namun sejak sekian lama tiada masalah tetapi sekarang ini mereka buat keputusan mendadak tanpa sebarang perbincangan mahupun budi bicara.

“Kami lima sekeluarga termasuk anak saya berstatus orang kelainan upaya (OKU) hidup dengan mengharapkan hasil jualan kedai ini sekiranya ia dirobohkan mana saya nak cari rezeki?

“Kami tidak halang mereka untuk merobohkannya demi kebaikan bersama cuma beri satu penyelesaian kepada kami untuk meneruskan kehidupan.

“Kalau boleh ganti tapak niaga baru tidak jauh dari lokasi ini untuk kami meneruskan kehidupan,” katanya ketika ditemui di gerainya hari ini.

Sementara itu, Fatimah Ismail, 59, berkata, kehidupan mereka empat beranak termasuk ibunya yang uzur bergantung dengan hasil pendapatan jualan airnya.

Rokiah

“Setiap malam saya dan anak-anak tidur tidak lena memikirkan nasib kami selepas menerima notis untuk mengosongkan premis itu.

“Saya bimbang kesihatan semakin merosot sekiranya terus dibelenggui masalah ini sekali gus akan membebankan lagi keluarga yang mengharapkan pendapatan daripada saya seorang saja.

“Hasil jualan kami tak seberapa tapi itu pun mereka nak sekat. Cuba mereka turun jumpa kami tanya masalah yang dihadapi terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang notis sebegini,” katanya. – MalaysiaGazette