PARIS – Eropah tidak memerlukan nasihat orang lain tentang apa yang perlu dilakukan, kata Presiden Perancis, Francois Holland.
Beliau menyelar kritikan Donald Trump berhubung komen bakal presiden Amerika Syarikat tentang polisi liberal Jerman tentang pendatang asing.
Semalam, Trump mengkritik polisi pendatang asing Canselor Jerman, Angela Merkel dengan menyifatkan dasar negara itu merupakan kesilapan yang membawa bencana.
Merkel juga berkata, Kesatuan Eropah (EU) yang sepatutnya memutuskan polisi mereka, sementara Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry turut mempersoalkan kenyataan Trump itu.
“Sejujurnya, adalah tidak sepatutnya bagi presiden Amerika Syarikat untuk campur tangan dalam politik negara lain secara langsung,” kata Kerry.
Trump juga mengejutkan pemimpin-pemimpin Nato apabila berkaya, perikatan itu telah “usang” dan mengugut pembuat kereta Jerman dengan tarif importĀ jika memindahkan kilang ke Mexico.
Dalam satu temu bual bersama media United Kingdom dan Jerman, Tump berkata, EU pada dasarnya “menjadi kenderaan untuk Jerman”.
Merujuk kepada maklum balas Merkel tentang kebanjiran pelarian dan pendatang tidak sah pada 2015, yang menyaksikan lebih daripada satu juta orang telah diterima masuk, Trump berkata: “Saya rasa dia telah membuat satu kesilapan yang amat dahsyat dan telah mengambil semua pendatang tanpa izin ini … ”
Merkel yang bertindak balas terhadap kenyataan itu berkata, EU mempunyai tanggungjawab sendiri.
“Kami masyarakat Eropah telah meletakkan nasib di tangan kami sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette