Home Sukan FAM tidak terlibat naturalisasi antara kelab

FAM tidak terlibat naturalisasi antara kelab

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar

SEPANG – Usaha mana-mana kelab yang memohon mendapatkan status naturalisasi bagi pemain mereka tidak melibatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, pihaknya tidak menghalang kelab untuk memohon mendapatkan status naturalisasi pemain dan ia tertakluk dengan kelulusan kerajaan.

“Seperti Mohamadou Sumareh, masa itu Pahang yang buat. Liridon (Krasniqi) dan (Guilherme) De Paula memang FAM buat dulu, tapi sekarang ini FAM tak buat lagi.

“Tapi seperti mana yang Datuk Hamidin Mohd Amin (Presiden FAM) beri tahu, persatuan bola sepak negeri atau kelab boleh buat permohonan sendiri yang mana mereka boleh mohon sendiri.

“Sekarang ini terpulang kepada persatuan bola sepak negeri atau kelab, kalau mereka fikir yang pemain itu layak atau boleh untuk diberi status naturalisasi, kenapa tidak. FAM tiada campur tangan dalam hal ini.

“Kita tak boleh cakap boleh, kita tak boleh cakap tak boleh, kita tak boleh syorkan dan sebagainya. Ini hak mereka sendiri,” katanya ditemui pada Majlis Pelancaran Rasmi Livery Pesawat AirBus 330-300 Harimau Malaya di Sepang, semalam.

Tambahnya lagi, program naturalisasi di bawah FAM ketika ini ditangguhkan sementara waktu sehingga keputusan dibuat oleh pengurusan badan induk itu pada masa akan datang.

Difahamkan ketika ini Sri Pahang FC dilaporkan dalam proses memberikan status naturalisasi kepada dua pemain skuad Tok Gajah iaitu Lee Tuck dan Sergio Aguero.

Namun, muncul dakwaan yang dibuat bekas pemain Felda United dan Melaka United, Curran Ferns terdapat pemain yang cuba menipu FAM berkaitan status pertalian darahnya dengan Malaysia. – MalaysiaGazette