ALOR SETAR – Jumlah mangsa banjir kilat di Kedah pagi ini terus meningkat kepada 2,873 orang berbanding 2,280 orang malam tadi.
Menurut kenyataan Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), jumlah itu meningkat berikutan air naik di beberapa bahagian kawasan pedalaman di daerah Pokok Sena, Kuala Muda, Kota Setar, Kubang Pasu dan Pendang.
Mereka terpaksa dipindahkan berikutan jumlah aliran air yang banyak dari hulu ke muara sungai tidak dapat ditampung oleh sistem saliran yang ada dan diburukkan lagi dengan sistem perparitan yang tersumbat dan cetek menyebabkan kawasan yang rendah dinaiki.
Kesemua mereka ditempatkan di 21 pusat pemindahan berbanding 17 pusat yang dibuka sebelum ini dan daripada jumah itu, 14 dibuka di daerah Kota Setar dan Kubang Pasu. – Bernama