Home Nasional YWP terus lantik kontraktor untuk kawal harga, elak pihak lain ambil kesempatan...

YWP terus lantik kontraktor untuk kawal harga, elak pihak lain ambil kesempatan – Zaizalnizam

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Datuk Zaizalnizam Zainun bercakap kepada media selepas bertemu dengan penduduk yang kediaman mereka terjejas akibat ribut dan angin kencang di Rumah Pangsa Taman Melati, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 09 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Lantikan kontraktor Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) secara terus bagi kerja-kerja membaik pulih bumbung di pangsapuri Taman Melati, Setapak, di sini, dibuat bagi memastikan kos terkawal.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zaizalnizam Zainun berkata, langkah itu bagi mengelakkan mana-mana pihak daripada mengambil kesempatan dan demi kepentingan peribadi.

“Setakat ini YWP telah menyediakan sejumlah dana bukan sahaja untuk penggantian bumbung bahkan bantuan lain kepada keluarga mangsa ribut ini.

“Proses lantikan juga kita tidak boleh tunggu. Ini merupakan bencana. Kita akan pastikan lantikan terus kepada kontraktor menepati kriteria.

“Kita nak pastikan harga (kos) kerja-kerja baik pulih terkawal supaya tidak ada orang ambil kesempatan atas kejadian ribut ini,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau hadir ke sesi penerangan khas berkaitan usaha Tanggungjawab Sosial Prihatin (CSR) YWP bagi membantu membaik pulih kerosakan bumbung rumah pangsa Taman Melati di Dewan Aktiviti Masyarakat Kawasan 4A, Taman Melati, Setapak, di sini.

Dalam kejadian pada 24 Januari lalu, dua blok pangsapuri Taman Melati antara yang terjejas teruk apabila hujan ribut dan angin kencang menerbangkan bumbung hingga menjejaskan 16 keluarga.

Sementara itu, bagi mengelakkan insiden itu berulang pada masa hadapan, Zaizalnizam akan memastikan semua kekuda bumbung pangsapuri terjejas digantikan dengan bahan berasaskan besi, bukan lagi kayu seperti sebelum ini.

“Kita sudah buat lantikan kontraktor untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan terutama sekali kekuda kayu yang masih ada dan untuk itu kita gantikan dengan kekuda besi yang lebih kuat dan kukuh.

“Insya-Allah esok hari kita akan terima atap bumbung secara berperingkat Sabtu dan Isnin. Proses ini sentiasa berterusan, atap ini tak boleh dipasang tanpa kekuda yang kukuh, kita kukuhkan kekuda sementara menunggu atap sampai.

“Proses ini memakan masa sedikit kerana keadaan cuaca tak menentu dan cuti Tahun Baharu Cina,” katanya lagi. – MalaysiaGazette