Home Ekonomi Menara TM hendak dijual bukan milik Telekom Malaysia

Menara TM hendak dijual bukan milik Telekom Malaysia

Menara TM - Foto media sosial

KUALA LUMPUR – Menara TM yang heboh untuk dijual hari ini bukan milik Telekom Malaysia Bhd. (TM).

TM dalam satu kenyataan berkata, syarikat tersebut tidak langsung terlibat dalam penjualan bangunan berkenaan.

“Telekom Malaysia Bhd ingin menjelaskan bahawa syarikat  adalah penyewa Menara TM yang terletak di Jalan Pantai Baharu Kuala Lumpur.

“TM tidak memiliki bangunan tersebut dan tidak terlibat dengan tujuan penjualannya oleh pemilik hartanah Menara ABS Bhd,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah TM, syarikat kini dalam proses memindahkan sebahagian besar pejabat korporatnya ke hartanah milik TM termasuk TM Annexe 1 dan TM Annexe 2 serta hartanahnya di Cyberjaya.

Tindakan itu sebagai sebahagian daripada program pengoptimuman syarikat untuk membolehkan kecekapan dan ketangkasan yang lebih tinggi dan untuk menampung keadaan kerja secara hibrid.

Media hari ini melaporkan TM didakwa telah mengiklankan untuk menjual aset miliknya iaitu Menara TM.

Menerusi satu iklan yang disiarkan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada Rabu, bangunan setinggi 55 tingkat itu dengan keluasan 989,200 kaki persegi itu bagaimanapun tidak mendedahkan harga jualan.

Tarikh tutup peringkat pertama bagi jualan Menara TM adalah pada jam 12 tengah hari pada 18 Mac ini.

Menurut iklan berkenaan, Menara TM yang dibina sebagai bangunan pejabat lengkap dengan helipad menawarkan pusat konvensyen seluas 92,431 kaki persegi, dewan pelbagai guna, kompleks sukan, klinik, pusat fisioterapi, pusat jagaan kanak-kanak dan masjid.

Bangunan itu siap dibina oleh Telekom Research & Development Sdn Bhd pada 2001 berstatus pegangan bebas itu ketika ini dihuni sepenuhnya.

Menara yang dibina dengan kos sekitar AS$160 juta (RM669.3 juta) terletak di lokasi strategik berhampiran dengan KL Sentral, Mid Valley City, KL Eco City dan Bangsar South.

WTW Real Estate Sdn Bhd adalah ejen pemasaran eksklusif bagi menara ke-10 tertinggi di Malaysia itu. – MalaysiaGazette