KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri hari ini bersetuju memberi subsidi kepada penternak ayam sebanyak RM0.60 bagi setiap kilogram (kg).
Ia mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang sebanyak RM5.90 setiap kg dan harga runcit ayam bulat standard sebanyak RM8.90 setiap kg.
Manakala bagi telur, jemaah Menteri juga telah bersetuju memberi subsidi sebanyak RM0.05 sebiji untuk semua jenis kategori, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee dalam satu kenyataan hari ini.
“Tujuan pemberian subsidi adalah untuk meringankan beban penternak susulan peningkatan kos terutamanya kos makanan yang meliputi 70 peratus dari kos pengeluaran selain kos logistik, kos pekerja, kos utiliti dan kos ubat-ubatan,” katanya.
Tempoh pemberian subsidi mulai 5 Februari hingga 4 Jun 2022 iaitu sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).
Anggaran keseluruhan implikasi kewangan kepada kerajaan bagi melaksanakan pemberian subsidi ayam dan telur di seluruh negara untuk tempoh empat bulan ini adalah sebanyak RM528.52 juta.
MAFI juga akan mengadakan sesi libat urus berterusan dengan pihak industri untuk memastikan industri ayam dan telur terus kekal mampan dan beroperasi dalam skala penuh bagi memastikan pengeluaran ayam dan telur di ladang mencukupi bagi memenuhi keperluan tempatan.
“MAFI berharap langkah intervensi Kerajaan melalui pemberian subsidi kepada penternak dapat menstabilkan kembali bekalan sekaligus memastikan rakyat dapat membeli ayam dan telur dengan harga yang berpatutan,” katanya.- MalaysiaGazette
Pati berlambak-lambak sanggup kerja upah lebih rendah pun ada pulak masalah kos bayar pekerja. Patutlah Pak Pandir modern kemaruk undi expats timah dan getah yang menguntungkan ekonomi penjajah Inggeris.