RASA sedih berpanjangan, hilang tumpuan terhadap pekerjaan, mudah letih, pola tidur terganggu serta kurang selera makan. Jika anda pernah mengalami tanda-tanda ini sehingga berlarutan dalam tempoh dua minggu, terus dapatkan bantuan pakar psikiatri atau pakar psikologi segera untuk didiagnosis dan mendapatkan rawatan selanjutnya. Hal ini kerana ianya merupakan tanda-tanda bagi kemurungan.
Pandemik Covid-19 yang melanda di seluruh negara tidak dinafikan memberi impak besar kepada kesihatan mental di seluruh dunia. Perkara ini dapat dilihat apabila terdapat peningkatan kes bunuh diri yang dilaporkan pada tahun 2020 iaitu sebanyak 631 kes berbanding pada tahun 2019 iaitu sebanyak 609 kes. Antara penyebab seseorang membunuh diri ialah berlakunya gangguan kesihatan mental seperti kemurungan.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil inisiatif untuk melancarkan Pelan Strategik Kebangsaan Kesihatan Mental (2020-2025) sebagai strategi jangka panjang dalam menangani peningkatan kes bunuh diri di negara ini. Pelan ini bertujuan untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan mental, meningkatkan strategi pencegahan bunuh diri dan kesiapsiagaan kesihatan mental dalam menghadapi kecemasan, krisis dan bencana. Namun apakah pula yang perlu dilakukan bagi individu sendiri bagi menangani gangguan kesihatan mental?
Antara langkah yang perlu diambil untuk mengekalkan kesihatan mental ialah:
Amalkan gaya hidup sihat
Perubahan gaya hidup seperti melakukan senaman, tidur secukupnya dan pemakanan yang sihat dapat membantu meningkatkan kesihatan mental dan fizikal. Purata waktu tidur yang disyorkan adalah sekitar tujuh hingga lapan jam sehari dan ianya juga dapat membantu meningkatkan daya tumpuan serta produktiviti seharian. Selain itu, meluangkan masa 10 minit sehari untuk melakukan senaman ringkas juga amat membantu. Sebagai contoh melakukan regangan otot dapat mengurangkan ketegangan otot, di samping melancarkan peredaran darah dan oksigen ke sistem saraf bagi membantu otak berfungsi dengan baik.
Rehat, jika penat
Tubuh yang mendapat rehat yang mencukupi dapat membantu meningkatkan produktiviti seharian. Ambil masa yang terluang untuk mentadabbur alam dan mensyukuri atas segala nikmat yang telah diberikan oleh Allah swt. Cuba seimbangkan masa bekerja dengan masa berehat. Rasulullah SAW juga mengambil waktu untuk berehat sebentar dan ianya adalah dengan solat. Rasulullah SAW pernah menyuruh Bilal r.a mengumandangkan azan, baginda akan berkata, “Wahai Bilal, rehatkan kami dengan solat.” (Riwayat Ahmad). Namun solat yang dimaksudkan di sini bukan sekadar memenuhi syariat mahupun melakukan pergerakan semata-mata. Solat yang sebenar adalah apabila kita memutuskan sebentar minda dan hati kita daripada hal keduniaan dan menumpukan ibadah hanya kepada Allah SWT. Dengan itu, ketenangan hati dapat diperoleh dan bebas daripada tekanan.
Dapatkan bantuan
Jika merasakan bahawa kesihatan mental terganggu sehingga menjejaskan kefungsian hidup, boleh terus dapatkan bantuan pihak professional seperti kaunselor mahupun pakar psikologi dan psikiatri. Sebagai contoh, hilang tumpuan terhadap pekerjaan sehingga diberhentikan kerja, penurunan berat badan yang drastik dan tidur terganggu. Di samping itu, individu perlu meluahkan rasa tekanan yang dialami kepada insan yang dipercayai seperti ahli keluarga dan rakan-rakan. Hal ini dapat membantu orang di sekeliling kita untuk lebih memahami keadaan diri dan mengurangkan tekanan yang dialami.
Libatkan diri dengan komuniti
Aktiviti khidmat masyarakat dan sukarelawan juga dapat membantu menjaga kesihatan mental. Mengasingkan diri di kala diri mengalami tekanan hidup bukanlah solusi yang terbaik. Sebagai contoh, melibatkan diri dengan aktiviti pengagihan bantuan. Melalui aktiviti ini, kita akan ketahui bahawa ada dalam kalangan masyarakat mengalami ujian yang lebih berat daripada diri sendiri. Bahkan ada di kalangan mereka juga yang begitu dahagakan ilmu kerana tidak mempunyai peluang pendidikan yang mencukupi. Dengan itu, usah kita terlalu asyik dengan masalah diri sehingga akhirnya melupakan tanggungjawab hakiki kita sebagai abid dan khalifah. Cuba jadikan ujian itu sebagai pemangkin untuk mematangkan diri sendiri.
Semoga kita diberikan kemudahan atas segala urusan serta permasalahan yang dihadapi. Jika terdapat seseorang yang dikenali mengalami tekanan hidup mahupun gangguan kesihatan mental, berikan sokongan yang berterusan dan dapatkan bantuan profesional. Jika mereka belum terbuka hati untuk berkongsi masalah, cuba fahami mereka dan beri bantuan mengikut kemampuan.
Oleh: Nurhidayah Binti Bacho
Isma Sandakan