KUALA LUMPUR – Gabungan Pakatan Harapan (PH) mahu kerajaan menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal diadakan pada 12 Mac depan.
PH berkata, penangguhan itu perlu memandangkan negara kini dilanda peningkatan kes positif Covid-19 sehingga 17,134 kes semalam.
“Majlis Presiden memandang serius gelombang Covid-19 dengan varian Omicron yang sudah bermula dengan jumlah kes mencecah 17,000 semalam.
“Demi memastikan keadaan ini tidak diperalatkan untuk tujuan politik maka kerajaan harus pertimbang untuk menangguhkan PRN Johor.
“Sekiranya kerajaan enggan menangguhkan dan ingin memberi kelonggaran seperti negara Barat maka kempen terbuka termasuk ceramah harus dibenarkan.
“Yang pasti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh tidak boleh dikenakan kerana terbukti gagal sebelum ini,” kata PH.
Kenyataan itu dikeluarkan Majlis Presiden PH yang dianggotai Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau.
Bagaimanapun pada masa sama, katanya, PH akan mengadakan siri tawaran kepada pengundi-pengundi sempena PRN Johor kelak.
Dengan tema ‘Johor Bangkit: Maju Bermaruah’, ia akan merangkumi pemantapan sosial, serta reformasi politik yang akan diumumkan sebelum bermulanya kempen pilihan raya.
“Majlis Presiden juga memutuskan untuk mengadakan siri jelajah penamaan calon-calon Pakatan Harapan bagi DUN-DUN yang ditandingi sejurus selepas calon parti-parti dimuktamadkan dalam masa terdekat.
“Ini demi menyatakan kesediaan Pakatan Harapan menawarkan saf kepimpinan yang mampu membentuk Kerajaan Negeri Johor yang lebih stabil dan bersedia membangunkan Johor pasca pandemik,” jelas Majlis Presiden PH lagi.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac depan sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari, manakala tarikh mengundi awal pula pada 8 Mac.
Pengumuman itu dibuat Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR Berkaitan PRN Johor ke-15, pada Rabu. – MalaysiaGazette