GEORGE TOWN – Sekumpulan enam saudara yang bekerja di dua gerai pasembor berbeza di Medan Renong Padang Kota Lama didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan bergaduh sesama sendiri pada 1 Februari lalu.
Bagaimanapun, keenam-enam tertuduh itu ialah Muhamad Ridzuan Rawther, 33, Rais Ahmad Mohamed Hussain, 38, Anwar Ibrahim Noorkan, 39, Jamil Kader Gani, 36, Mohamad Khrom Mohamad Salam, 32, dan Ridzuan Mohamnad Salam, 30 mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab.
Mengikut pertuduhan mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Astaka Medan Renong di Padang Kota Lama pada 1 Februari jam 11.40 malam.
Mereka didakwa melakukan rusuhan dan mengganggu ketenteraman mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Nazri Abdul Rahim meminta mahkamah menawarkan jaminan RM10,000 setiap seorang, memandangkan keseriusan dan keseriusan kesalahan itu di tempat awam.
Manakala peguam, Anil Singh Khera yang mewakili semua tertuduh meminta jumlah jaminan yang lebih rendah, kerana mereka hanya memperoleh gaji kira-kira RM2,000 sebulan selain mempunyai tanggungan keluarga.
Nur Melati Diana kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin setiap seorang.
Mahkamah menetapkan 16 Mac untuk sebutan semula kes.
Kesemua lelaki itu membayar wang jaminan.
ARTIKEL BERKAITAN
Berebut pelanggan, dendam lama punca pergaduhan di Padang Kota Lama
MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan polis mengesahkan dendam lama serta berebut pelanggan punca pergaduhan membabitkan dua peniaga di Kompleks Makanan Medan Renong Padang Kota Lama di sini, pada Selasa lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan mengenai insiden terbabit daripada lelaki berusia 36 tahun yang terlibat dalam pergaduhan tersebut.
Jelas beliau, pergaduhan itu membabitkan perselisihan faham antara pengadu, dua adiknya serta tiga sepupu mereka. – MalaysiaGazette