KUALA LUMPUR – Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan bertanding dua kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan pada 12 Mac 2022.
Ketua Penerangannya, Zakaria Abdul Hamid berkata, parti itu akan mengumumkan kerusi ditandingi dan nama calon sebelum hari penamaan calon pada 26 Februari ini.
“PRN Johor adalah medan terbaik untuk parti itu memperkenalkan “Agenda The Great Reset 2030” yang terdiri daripada enam tunjang utama iaitu mengeratkan perpaduan antara kaum, meningkatkan penglibatan golongan muda, memperkasakan peranan wanita, pembangunan ekonomi negara, menjana perkembangan sains dan teknologi serta peningkatan kualiti pendidikan Malaysia,” katanya di sini.
Tambahnya, PBM berharap dapat memberi saingan sihat kepada parti politik lain yang bertanding dalam PRN kali ini. – MalaysiaGazette