KUALA LUMPUR – Jemaah menteri bersetuju untuk mewujudkan 4,186 jawatan tetap tambahan di Kementerian Kesihatan (KKM) pada tahun ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ia melibatan pelantikan 3,586 pegawai perubatan, 300 pegawai pergigian dan 300 pegawai farmasi.
“Lantikan bagi perjawatan tetap tambahan ini akan dibuat bermula pada bulan Jun 2022.
“Jemaah Menteri juga telah bersetuju agar sekurang-kurangnya 1,500 jawatan tetap Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi diwujudkan di KKM pada setiap tahun mulai tahun 2023 hingga 2025,” katanya pada sidang media di KKM, hari ini.
Dalam pada itu, Kabinet turut bersetuju mewujudkan 800 jawatan tetap Pakar Perubatan dan 70 Pakar Pergigian pada setiap tahun mulai 2023 bagi menampung keluaran pakar perubatan tetap di fasiliti kesihatan di bawah KKM.
“Melalui keputusan terbaharu ini, sekurang-kurangnya 8,686 perjawatan tetap tambahan melibatkan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi akan diwujudkan sepanjang tempoh 2022 sehingga 2025,” jelas Khairy. – MalaysiaGazette