Home Politik Muda tak amal politik balas dendam – Syed Saddiq

Muda tak amal politik balas dendam – Syed Saddiq

Pengasas MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap ketika sesi dialog pada Program 'Tanya Saja Apa-Apa Tanpa Tapis' di Kampung Tengku Petaling Jaya, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 10 FEBRUARI 2022.

PETALING JAYA – Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bertapak di Malaysia bukan bertujuan untuk mengamalkan politik balas dendam kepada parti pemerintah, jauh sekali untuk memporak-perandakan negara ini.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, penubuhan parti itu lebih untuk memastikan politik khidmat dan dasar itu dapat diperkasakan kepada rakyat yang kini jauh lebih matang menilai pemimpin politik.

“Dengan cara ini, suara rakyat dapat diangkat sebab itu apabila kita tidak bersetuju pun, tak ada sampai nak bergaduh bertumbuk atau bakar tempat, tak ada.

“Kalau ikut protes pun, kita cuba seringkas mungkin, polis pun tahu kalau kena siasat kita berikan bantuan penuh kepada pihak polis atas siasatan tersebut,” katanya dalam Sesi Syed Saddiq Tanpa Tapis di pejabatnya di Kampung Tunku malam tadi.

Dalam pada itu, kehadiran Muda dalam arena politik tanah air mampu menggugat dan menakutkan mana-mana parti lawan apatah lagi UMNO yang berusia lebih 60 tahun menerajui negara.

“Dalam politik ini, rakan dan lawan tetap perlu dihormati, nak kata mereka takut ker tidak, itu saya rasa itu keputusan rakyat, tapi saya tekankan Muda jangan ego, jangan angkuh.

“Ingat jangan hanya Muda berkembang dengan cepat, tiba-tiba rakyat bersama dengan kita, tidak ya, sepatutnya kita bekerja jauh lebih keras. Kalau lawan dapat buktikan bahawa mereka bekerja jauh lebih baik, rakyat akan berikan amanah kepada mereka mentadbir negeri dan negara,” katanya.

Ahli Parlimen Muar itu juga mengakui masih ramai pemimpin politik dalam UMNO yang baik dan boleh bekerjasama dengan pembangkang demi menjaga kebajikan rakyat.

“Saya rasa dalam UMNO juga ramai juga pemimpin yang baik, dalam isu dasar, yang mana boleh kita kerjasama, kita boleh bekerjasama

“Sebab itu kalau dilihat dalam Parlimen banyak isu mendapat sokongan dwi-parti kedua-dua pihak dan budaya ini perlu kita angkat lebih banyak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette