KUALA LUMPUR – Kesedaran dan pengetahuan orang ramai terhadap penyakit yang menjadi pembunuh kedua di negara ini masih rendah, justeru segala usaha dan maklumat perlu diperluaskan agar penyakit berbahaya ini dapat dikesan lebih awal.
Ketua Unit Kanser, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr. Nor Saleha Ibrahim Tamin berkata, pada tahun 2020 sahaja, hampir 49,000 penduduk Malaysia dikesan menghidap kanser dan angka itu dijangka terus meningkat mencecah lebih 66,000 orang menjelang 2030.
Katanya, jangkaan itu tidak mustahil akan berlaku kerana masih ramai masyarakat di negara ini kurang sedar akan kepentingan pemeriksaan awal kanser.
“Terdapat pelbagai faktor mendorong lonjakan penyakit ini, antaranya kurang mengamalkan gaya hidup sihat, menghisap rokok, berat berat badan berlebihan (obesiti), kurang pengambilan makanan berserat, kurang makan buah-buahan dan pengambilan alkohol berlebihan.
“Genetik juga antara penyumbang penyakit kanser, namun jumlahnya amat kecil hanya 10 peratus sahaja dan ia tidak boleh diubah. Bagaimanapun, peningkatan jumlah kes kanser ini bukan sahaja berlaku di Malaysia sebaliknya berlaku di seluruh dunia, ” katanya pada pemberita ketika ditemu bual.
Tambahnya, walaupun umum mengetahui penyakit kanser ini bahaya, namun ketakutan dan kesedaran semata-mata, tidak mampu menurunkan rekod graf penyakit tersebut.
Dr Nor Saleha berkata, kanser ini boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira umur atau jantina kerana semua orang ada risiko termasuk kanak-kanak, namun tidak semua organ seseorang itu akan diserang penyakit tersebut.
“Jika kanser ini dapat dikesan awal, penyakit itu boleh dipulihkan. Malangnya di Malaysia ini, kebanyakkan kanser lebih 60 peratus dikesan lewat iaitu sudah ditahap tiga dan empat, yang mana rawatan akan menjadi lebih rumit, kos perubatan tinggi dan peluang untuk sembuh itu kurang berbanding pesakit ditahap satu dan dua.
“Ini kerana, jika mereka ditahap satu, masih boleh melakukan pembedahan dan tidak perlu kimoterapi,” ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau juga mendedahkan 10 jenis kanser tertinggi yang dikesan mengikut keutamaan ialah payudara, kolorektal, paru-paru, limfoma, nasopharynx, leukemia, kelenjar prostat, hati, pangkal rahim (serviks) dan ovari dalam kalangan rakyat bagi tempoh 2012 hingga 2016.
Kes baharu membabitkan kanser bagi tempoh 2012 hingga 2016 merekodkan peningkatan iaitu 115,238 kes berbanding dengan 103,507 kes bagi tempoh 2007 hingga 2011.
“Sebenarnya satu per tiga kanser ini boleh dicegah, jika rakyat di negara ini menjalankan saringan yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM). Apabila umur sudah meningkat 50 tahun, amat disarankan membuat saringan dua tahun sekali untuk memeriksa tahap kesihatan terurama kanser usus besar.
Bagi memeriksa kanser payudara pula, terdapat dual modality iaitu dengan pengambilan tisu di payudata dan pelaksanaaan Mammogram, mereka berusia 20 tahun perlu membuat saringan tiga kali setahun, manakala 50 tahun diperiksa setiap tahun,” katanya.
Sehubungan itu, Dr Nor Saleha menyarankan orang ramai untuk menjalankan saringan kesihatan mereka dan penglibatan semua pihak dalam memupuk kesedaran mengenai pentingnya saringan awal kanser juga amat digalakkan. – MalaysiaGazette