KUALA LUMPUR – Kekuatan jentera Pas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan memberi gambaran bagi mempersiapkan parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Ketua Penerangannya, Senator Ir. Khairil Nizam Khirudin.
Beliau berkata, Pas telah mengerahkan semua jenteranya dan berada dalam siap siaga untuk memberi kemenangan kepada calon parti itu.
“Jentera Pas yang dikerahkan bagi persediaan menghadapi PRN Johor ini diyakini mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik.
“Ini kerana kekuatan jentera dalam PRN Johor akan memberikan gambaran bagi mempersiapkan parti menghadapi PRU15,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Beliau mengingatkan jentera parti agar tidak melihat PRN Johor sebagai satu pilihan raya semata-mata kerana Pas juga akan menghadapi PRU yang lebih besar berbanding dengan PRN.
Jadi, kata beliau, sewajarnya jentera yang digerakkan sekarang ini bukan sekadar berdepan dengan PRN Johor, tetapi sebagai persiapan PRU15 yang lebih besar impaknya terhadap negara.
Mengenai peluang Pas untuk menang di Johor, kata Ir. Khairil Nizam, menang atau kalah adalah adat dalam pertandingan.
“Setiap pilihan raya yang kita bertanding, pastinya ada pelbagai risiko, menang dan kalah itu adat dalam bertanding.
“Kalau betul dari sudut pengurusan kita dan bacaan politik dan analisis yang kita lakukan, insya-Allah kemungkinan kemenangan itu ada.
“Kalau sebaliknya, kita kena berusaha lebih keras untuk menghadapi keadaan berikutnya,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor, manakala penamaan pada calon 26 Februari dan pengundian awal 8 Mac. – MalaysiaGazette