Home Politik PRN Melaka, Sarawak bukti Anwar tidak relevan dalam politik – Khairuddin

PRN Melaka, Sarawak bukti Anwar tidak relevan dalam politik – Khairuddin

Foto Facebook Khairuddin Abu Hassan

KUALA LUMPUR – Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak membuktikan secara jelas bahawa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah tidak relevan lagi dalam lanskap politik tanah air.

Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, nasib sama terpaksa ditanggung PKR kerana rakyat akan menolak tokoh reformis itu pada PRN Johor, 12 Mac ini.

“Selagi Anwar Ibrahim berada dalam pesada politik negara, maka selagi itulah lanskap politik tanah air kita akan menjadi haru-biru dan caca-marba.

“Manusia hipokrit dan fasiq ini tidak pernah ikhlas dalam agenda politiknya tetapi hanya pakar baling batu sorok tangan serta tikam belakang demi mencapai cita-cita rakusnya hendak menjadi Perdana Menteri sahaja.

“Percaturan politik palsu Anwar Ibrahim amat bahaya kepada keseluruhan bangsa dan negara. Negara kita akan terus rosak secara lebih teruk lagi sekiranya manusia fasiq berjaya mendapat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Khairuddin juga mendakwa Anwar merupakan tokoh pemimpin hipokrit nombor satu negara yang bertanggungjawab menguatkan kedudukan kleptokrat dalam kepimpinan negara pada hari ini.

“Sebenarnya, Anwar Ibrahim juga salah seorang yang bersubahat dengan perasuah kerana beliau bertanggungjawab memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan kerajaan.

“Secara langsung Anwar Ibrahim yang memberi tali hayat kepada golongan kleptokrat dan perasuah untuk terus memimpin negara kita.

“Puak kleptokrat ini telah ditolak oleh rakyat pada PRU14, tetapi pada hari ini Anwar yang menyokong serta menguatkan kedudukan mereka melalui MoU yang dimeterai antara Pakatan Harapan (PH) dengan kerajaan,” katanya.

Khairuddin tidak menolak kemungkinan atas dasar itu juga rakyat sedang menghukum pengkhianatan PH dan menolak MoU mereka dengan Kerajaan Keluarga Malaysia sebelum ini.

“Inilah sifat serta sikap hipokrit Anwar dalam percaturan politiknya. Sebenarnya, Anwar tidak mempunyai sebarang agenda untuk bangsa dan negara.

“Cukup-cukuplah Anwar dengan amalannya yang berterusan untuk menipu dan memperbodohkan rakyat Malaysia.

“Rakyat tidak bodoh dan sebab itu kini Anwar sedang ditolak oleh rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette