Home Nasional PRN Johor: KPM tidak benarkan sekolah menengah dijadikan tempat pembuangan undi

PRN Johor: KPM tidak benarkan sekolah menengah dijadikan tempat pembuangan undi

Datuk Dr Radzi Jidin

JOHOR BAHRU – Kementerian Pendidikan (KPM) akan memohon kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tidak membenarkan sekolah menengah digunakan sebagai tempat membuang undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ia bagi mengelakkan gangguan pada proses peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang berjalan ketika itu dan perlu disusun semula.

“Saya baru dimaklumkan semalam menerusi sesi libat urus, terdapat guru-guru yang membuat rungutan menyatakan sekolah mereka akan digunakan sebagai pusat pembuangan undi untuk PRN Johor.

“Kita sebenarnya masih belum menerima sebarang permohonan secara rasmi daripada SPR untuk menggunakan premis sekolah dan kita telah buat ketetapan sebolehnya sekolah menengah tidak digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Libat Urus Bersama Warga Pendidik dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Pada Rabu lalu SPR mengumumkan hari penamaan calon bagi PRN Johor pada 26 Februari ini manakal undi awal ditetapkan pada 8 Mac depan dan hari pembuangan undi pada 12 Mac depan.

Radzi berkata, kementerian itu tidak mempunyai masalah jika SPR bercadang menggunakan sekolah rendah sebagai pusat membuang undi kerana ia tidak melibatkan sebarang peperiksaan. – MalaysiaGazette