BALI – Peningkatan aktiviti seismik di Gunung Agung mencetuskan kebimbangan berlaku gunung berapi buat kali pertama dalam tempoh 50 tahun.
Agensi Bencana di Indonesia memaklumkan jumlah penduduk yang menyelamatkan diri dari kawasan kediaman mereka di sekitar gunung tersebut telah meningkat tiga kali ganda sejak Jumaat lalu.
Gunung Agung dijangka meletus bila-bila masa sahaja.
“Proses pemindahan sedang dijalankan dan jumlah yang berpindah dijanga terus meningkat,” kata jurucakapnya, Sutopo Purwo Nugroho.
Gunung berapi itu, titik tertinggi di Bali, terletak kira-kira 75 kilometer dari pusat pelancongan Kuta.
Pegawai mengumumkan tahap amaran tertinggi telah dikeluarkan pada Jumaat lalu berikutan aktiviti gunung berapi yang semakin meningkat, mendesak orang ramai yang tinggal sekurang-kurangnya sembilan kilometer dari kawah meninggalkan kediaman masing-masing.
Lapangan Terbang Antarabangsa Denpasar, menjangkakan kemungkinan penutupannya tetapi tidak ada jadual penerbangan yang terjejas setakat semalam.
Bahkan, lapangan terbang itu sudah membuat persiapan bas dan keretapi untuk memindahkan para penumpang ke hab wilayah berhampiran jika gunung api tersebut meletus. – MalaysiaGazette