Home Nasional Simbah minyak panas bayi 4 bulan, saya dengar wanita minta tolong –...

Simbah minyak panas bayi 4 bulan, saya dengar wanita minta tolong – Jiran

SEMABOK – “Saya terkejut apabila melihat jiran berlari meminta tolong sambil mendukung bayi perempuannya berusia empat bulan dalam keadaaan badan berlumuran minyak.

“Dalam keadaan cemas itu, dia mendakwa suaminya menyimbah minyak panas kepadanya dan anaknya itu ketika dia sedang menggoreng ayam sambil tidak putus-putus meminta saya segera menghubungi polis,”.

Itu detik cemas diceritakan jiran kepada lelaki berusia 24 tahun yang sanggup bertindak ‘gila’ menyimbah minyak panas kepada isteri dan bayi perempuannya berusia empat bulan selepas berlaku pertengkaran antara mereka, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5.50 petang di Semabok Dalam, di sini, mangsa berusia 22 tahun serta bayinya terpaksa dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan akibat melecur di beberapa bahagian badan.

Kejadian tercetus apabila suami berusia 24 tahun itu mengesyaki isterinya berkawan dengan lelaki lain selepas kerap berbual menggunakan telefon bimbit.

Menurut jirannya lagi sebelum kejadian, dia terdengar wanita berkenaan menjerit meminta tolong ketika sedang mengangkat pakaian di ampaian kira-kira jam 5.30 petang.

“Tidak lama kemudian, saya lihat isterinya berlari keluar rumah meminta tolong manakala suaminya berdiri di pintu rumah memanggil isterinya masuk namun tidak diendahkan.

“Dalam keadaan cemas itu, wanita terbabit tidak putus-putus meminta saya menghubungi polis supaya menangkap suaminya kerana telah mencederakannya dan anaknya,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di rumahnya, di sini, hari ini.

Tambahnya, selepas kira-kira 15 minit berlalu, baharulah dia segera menghubungi polis setelah beberapa kali didesak dan dirayu jirannya itu yang enggan pulang ke rumah kerana takut dicederakan suami.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Lim Meng Seah, ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki berkenaan selepas polis menerima maklumat kejadian semalam.

Menurut beliau, suspek direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.

“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila si suami mengesyaki isterinya berkawan dengan lelaki lain selepas kerap berbual menggunakan telefon bimbit.

“Si suami kemudian meminta penjelasan daripada isterinya yang ketika itu sedang menggoreng ayam di dapur sebelum suspek yang dipercayai tidak berpuas hati menyimbah minyak panas dari kuali ke arah mangsa dan anak bongsunya itu,” katanya.

Meng Seah berkata, akibatnya, mangsa yang juga suri rumah mengalami kesan lecur di paha kiri manakala bayinya turut melecur pada belakang pinggang, punggung serta keseluruhan kaki sebelah kiri dan kanan.

“Suspek bekerja sebagai pemotong ayam di Pasar Borong Batu Berendam dan pasangan itu yang sudah tujuh tahun berkahwin mempunyai tiga lagi anak berusia dua, empat dan enam tahun,” katanya. – MalaysiaGazette