JOHOR BAHRU – Wanita UMNO Malaysia telah bersedia sepenuhnya bagi mendepani cabaran siber dan media sosial pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menerusi jentera Cyber Rangers Wanita peringkat Negeri dan Bahagian.
Ketua Penerangannya, Datuk Norshida Ibrahim berkata, seperti gerakan PRN Melaka sebelum ini, Wanita akan memastikan penyelarasan dan koordinasi dilaksanakan pada setiap peringkat dengan cukup rapi dan teliti dalam menghadapi sebarang kemungkinan dalam memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN).
“Tiada kompromi di dalam segala gerakan jentera dan perlu berhati-hati serta berwaspada mengawal gerak-geri jentera parti lawan yang sentiasa menabur fitnah kepada BN bagi mengaburi mata rakyat.
“Sudah pasti Wanita akan memastikan segala informasi dan penerangan akan sampai ke seluruh pengundi pelbagai peringat umur sehingga ke hari akhir pengundi membuang undi pda 12 Mac 2022.
“Jentera Wanita juga diperkemaskan dengan jentera-jentera Wanita daripada negeri-negeri lain yang datang membantu dan diingatkan supaya mematuhi segala Standard Operation Procedure (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan sepanjang berkempen PRN Johor,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Jentera Wanita juga katanya, diingatkan agar memahami segala isu-isu semasa, setempat dan sentiasa menjaga sentiviti pengundi-pengundi sewaktu menziarah kerana setiap pengundi adalah bernilai bagi BN.
“Gunakanlah peluang bagi berceramah di Bilik Gerakan untuk menyampaikan informasi kepada rakyat dan pastikanlah bahawa penyertaan pengundi adalah dihadkan demi menjaga keselamatan semua.
“Percayalah usaha kita ini diyakini rakyat kerana mereka yakin kestabilan Barisan Nasional akan membawa kemakmuran kepada Negeri Johor.
“Percayalah bahawa rakyat akan bersama kita dan kita perlu buktikan bahawa kita adalah yang lebih baik demi Negeri Johor ini,’ ujarnya. – MalaysiaGazette