KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) bersedia untuk membenarkan 10,000 pelajar kembali ke kampus dengan SOP ketat secara berperingkat bagi Semester Kedua Sesi Akademik 2021/2022 dan mendaftar di kolej kediaman UPM bermula 16 Mac ini.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu berkata, ketetapan ini, semua gerak kerja dan persediaan bagi menerima ketibaan pelajar untuk pulang ke kampus sedang giat dilaksanakan.
”Bagi mencegah risiko penularan pandemik Covid-19 dalam kampus UPM, pihak pengurusan kolej-kolej kediaman UPM telah mengambil keputusan bahawa semua proses dan prosedur berkaitan kemasukan dan pendaftaran pelajar hendaklah dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.
Tambah beliau, pendaftaran untuk menginap di kolej kediaman bagi pelajar Semester Kedua Sesi 2021/2022 akan bermula pada 16 Mac 2022 (Rabu) hingga 18 Mac 2022 (Jumaat) serta UPM turut mengutamakan langkah keselamatan seperti mengisi borang pengisytiharan kesihatan, pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, penggunaan pensanitasi tangan dan penjagaan kesihatan diri yang rapi.
Ujarnya lagi, UPM turut membenarkan pelajar antarabangsa yang telah lengkap vaksin dan telah mendapat dos penggalak untuk kembali ke kampus dan wajib melaksanakan kuarantin tujuh hari atau lima hari setibanya dari negara asal di pusat kuarantin yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti yang ditetapkan oleh kerajaan.
Arifin berkata, kehadiran pelajar ke dalam kampus akan dipantau dengan teliti oleh pihak berkuasa UPM dan sekiranya didapati demam atau bergejala, pelajar tersebut akan dirujuk ke Pusat Kesihatan Universiti (PKU) sebelum dibenarkan untuk memasuki premis kolej kediaman.
Beliau turut menegaskan, setiap pelajar adalah dikehendaki mematuhi tatacara yang telah ditetapkan serta arahan petugas dari masa ke masa dalam usaha untuk terus berjuang mengawal penularan pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette