PARIS – Polis telah memintas ratusan kenderaan yang cuba memasuki Paris untuk terlibat dalam protes terhadap peraturan pencegahan koronavirus.
Gas pemedih mata telah dilepaskan di bandar ini ketika penunjuk perasaan mengingkari arahan larangan “Konvoi Kebebasan”.
Menteri Dalam Negeri Gérald Darmanin berkata, 54 orang ditahan manakala 300 kertas denda telah dikeluarkan.
Pihak berkuasa telah mengerahkan lebih 7,000 anggota polis dalam tempoh tiga hari akan datang dalam usaha untuk menghalang tunjuk perasaan.
Di sebalik usaha itu, beberapa kenderaan berjaya tiba di Arc de Triomphe di bandar ini dan gas pemedih mata telah dilepaskan ke arah penunjuk perasaan di jalan Champs-Élysées.
Protes ini diilhamkan daripada “Konvoi Kebebasan” Kanada yang telah mengganggu perdagangan di sempadan Amerika Syarikat (AS) dan menduduki jalan-jalan di Ottawa.
Demonstrasi yang sama ini telah mula merebak ke seluruh dunia.
Austria dan Belgium telah melarang konvoi tersebut daripada memasuki ibu negara mereka dengan demonstrasi serupa juga muncul di Australia, New Zealand dan Belanda.
Pada hari Sabtu, polis di Paris berkata, mereka telah memintas ratusan kenderaan yang menuju ke bandar itu.
Dua didakwa membawa pisau, penukul dan tong petrol dan lima didakwa membawa alat membaling batu. – BBC (https://www.bbc.com/news/world-europe-60359061)