Home Nasional Remaja maut terjatuh dari tingkat 10 diklasifikasi mati mengejut

Remaja maut terjatuh dari tingkat 10 diklasifikasi mati mengejut

Seorang remaja perempuan maut selepas terjatuh dari tingkat 10 sebuah flat di Taman Tun Teja, Rawang - Foto PDRM

KUALA LUMPUR – Kes seorang remaja perempuan ditemui maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 10 sebuah flat di Taman Tun Teja, Rawang semalam, diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed, Balai Polis Rawang menerima maklumat kira-kira pukul 3 petang mengenai kejadian seorang remaja yang terjatuh dari Blok Seroja.

“Siasatan awal dapati mayat satu perempuan warga tempatan berada dalam keadaan tertiarap, memakai seluar pendek berwarna biru dan baju T berwarna hitam.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Selayang untuk tujuan bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai SDR sehingga keputusan bedah siasat diketahui,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Menurut Zainal, mangsa yang berusia 14 tahun itu tinggal bersama ibu saudaranya di tingkat dua sejak kematian ibu kandungnya, dua tahun lalu.

Katanya lagi, siasatan awal di lokasi kejadian tidak menemui sebarang notis yang ditinggalkan mangsa.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Hassim di talian 03-6091 6222 bagi membantu siasatan.

Semalam, media melaporkan seorang remaja perempuan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 10 sebuah flat di Rawang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 3.17 petang. – MalaysiaGazette