KUALA LUMPUR – Tindakan Datuk Seri Mohammad Sanusi Md Nor memperlekeh Barisan Nasional (BN) di Kedah menunjukkan beliau tidak menghargai lagi Muafakat Nasional (MN), malah sangat bertentangan dengan “fatwa” Pas yang kononnya nekad mahu memperkukuh MN di negara ini, dakwa Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Hashim Jahiya.
Malah, kenyataan Menteri Besar Kedah itu menjelaskan MN hanyalah satu dakyah politik Pas yang tidak ikhlas bekerjasama dengan UMNO dan BN dalam piagam tersebut.
Sedangkan, sebuah negeri yang sama jumlah bilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau hanya punyai kelebihan satu atau dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja boleh dianggap tidak stabil di negara ini, khususnya selepas PRU ke-14.
”Sebagai seorang pemimpin utama negeri, pastinya beliau tahu kesan buruk bagi sesebuah negeri atau negara yang tidak stabil politiknya. Antaranya, para pelabur akan takut dan teragak-agak untuk melabur di negeri atau negara berkenaan kerana bimbang perubahan dasar kerajaan, hala tuju dan merugikan pelaburan yang dibuat.
”Kerajaan itu juga akan kerap terganggu, tidak lancar proses pembuatan dasar dan goyah, sekali gus mengakibatkan rakyat menjadi mangsa secara tidak langsung.
”Apatah lagi Presiden dan beberapa pemimpin utama PPBM, rakan sekutu Pas itu, sejak kebelakangan ini mengugut BN mahu menekan “butang” di Johor yang berada di kedudukan seri 27-27 DUN itu, kedudukan politik dan pentadbiran Kerajaan Negeri Johor sangatlah tidak stabil dan goyah. Harapnya, MB Kedah celik dengan keadaan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini.
Demi kestabilan politik Kerajaan Negeri Johor itulah maka Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad, menanggung risiko mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, untuk membubarkan DUN dan mengadakan pilihan raya negeri, sedangkan BN ketika itu memegang kuasa dan tiada siapa yang mampu menjamin kemenangan BN di Johor selepas itu.
Sekiranya UMNO-BN kononnya “tamak kuasa” seperti yang dikatakan Muhammad Sanusi, pastinya Hasni tidak nasihatkan Sultan Johor untuk berbuat demikian dan beliau akan terus selesa memegang kuasa di kerusi menteri besar hingga selesai penggal.
Namun atas rasa tanggungjawab pada amanah diraja, rakyat dan negeri Johor, beliau perlu mengambil keputusan tersebut.
Sekiranya MB Kedah celikkan mata lebih luas, UMNO-BN telah mentadbir negara sejak merdeka lagi dengan kelebihan kerusi yang baik.
Malah, lebih 60 tahun lamanya mentabdir, kestabilan politik di negara ini dilihat stabil dan mengalami pertumbuhan ekonomi yang baik.
Petandanya, pelaburan di negara ini meningkat baik saban tahun, jelas menandakan UMNO-BN bukanlah punca ketidakstabilan politik mana-mana kerajaan di negara ini.
Sebaliknya, Muhammad Sanusi perlu sedar bahawa ketidakstabilan politik di negara ini mula berlaku apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bersama Pakatan Harapan menang tipis pada PRU ke-14 yang lalu.
Untuk menstabilkan kerajaan PH ketika itu, PPBM yang merupakan perdana menteri telah berjaya “memancing katak-katak politik” menyertai partinya kerana itulah cara “kestabilan politik” ala PH.
Namun kerajaan PH itu tidak juga stabil dan tumbangkan diri sendiri apabila sekutu Pas itu berpecah dua dan mengkhianati PH.
PPBM ketika itu bukan saja membawa lari “katak-katak politik” dari mereka yang tidak setia pada UMNO-BN, malah turut membawa lari beberapa “katak-katak politik” dari PKR, sekali lagi untuk membentuk kerajaan dengan majoriti yang sangat tipis.
”Apakah rakan sekutu Pas itu tidak gila kuasa? Apatah lagi mereka terpaksa mengemis simpati dari UMNO-BN yang mereka khianati 22 bulan bersama PH dulu? Kerana PRU dilihat tidak dilihat relevan ketika itu kerana Covid-19, maka UMNO dan Pas terpaksa menerima cadangan menubuhkan kerajaan campuran bersama PPBM, biarpun hati terluka.
Tegas Hashim, malah, Muhammad Sanusi sendiri menerima “laba ghanimah” atas ketidakstabilan politik PH tersebut kerana dari kerusi ketua pembangkang, beliau diberi peluang menjadi Menteri Besar.
”Cuma kadangkala, mungkin Allah berikan jawatan besar itu sebagai ujian kepada beliau. Apakah akan ada rasa ujub, riak dan takbur pada kedudukannya? Sombongkah beliau setelah memegang kuasa? Atau hanya berlagak marhaen, namun hakikatnya hanya sekadar mencari publisiti, membeli jiwa atau memancing simpati? Beliau sendiri mendapat jawatan “percuma”, bukan?,” ujarnya.
Namun setelah 17 bulan mengepalai kerajaan, beberapa ahli parlimen melihat Kerajaan PN gagal membentuk “kestabilan politik” meskipun mengisytiharkan darurat.
Malah pentadbiran 17 bulan itu dilihat gagal dan hanya berjaya melaksanakan pelbagai siri Perintah Kawalan Pergerakan sahaja dengan membelanja berbilion-bilion wang negara.
Memiliki majoriti yang sangat tipis dan kegagalan menstabilkan kerajaan PN itu menyebabkan Perdana Menteri dari PPBM itu memaksa diri untuk meletak jawatan dan BN terpaksa pula mengambil alih pentadbiran sebuah negara yang tempang teruk, hasil peninggalan PH dan PN.
Malah kerajaan itu juga tidak stabil sebagaimana yang dibayangkan.
Oleh itu adalah jelas bahawa segala tohmahan Menteri Besar Kedah itu bagaikan alasan untuk mencari helah meruntuhkan MN, bukan mengukuhkan MN.
”Mungkin ini kenyataan beliau itu juga bertujuan mengaburi mata penyokong Pas di Johor yang khabarnya lebih sayangkan ukhuwah MN. Setelah mengeratkan silaturrahim bersama UMNO-BN di PRK Tanjung Piai tempohari, sudah tentu ramai penyokong Pas yang keliru apabila MB Kedah ajar berkelahi dengan UMNO-BN, sebaliknya menyeru untuk menyokong PPBM yang menipu mereka hidup-hidup pada PRU ke-14 lalu,” tambahnya. – MalaysiaGazette