KUALA LUMPUR – Antara isu dan cabaran meningkatkan sumbangan sektor kayu kayan kepada pendapatan eksport negara ialah dengan meningkatkan industri hiliran di Sabah.
Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Datuk Hishamuddin Abdul Karim berkata, produk huluan masih mendominasi prestasi eksport Sabah bernilai RM0.946 bilion berbanding produk hiliran yang hanya bernilai RM0,039 bilion pada tahun lepas.
“Sehingga November 2021, Malaysia mencatatkan nilai eksport RM19. 31 bilion. Dari nilai ini, Sabah menyumbang sebanyak RM0.985 bilion atau lima peratus dari eksport Malaysia.
“Eksport Sabah menunjukkan peningkatan sebanyak 25 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2020,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Menurut Hishamuddin, peningkatan itu signifikan meskipun negara masih lagi dilanda pandemik Covid-19.
Menurutnya, Sabah merupakan negeri yang kaya dengan bekalan bahan mentah yang boleh dimanfaatkan oleh industri hiliran sektor perkayuan negara.
MTIB, katanya, akan terus menjalin kerjasama dengan agensi kerajaan negeri dan industri seperti Sabah Timber Industries Association, Sabah Furniture Association dan Persatuan Taman Industri Perabot Sabah.
“MTIB akan memastikan program yang dijalankan seperti Program Pembangunan Ladang Hutan, Program Community Farming Buluh serta pembangunan moal insan menerusi Pusat Latihan MTIN iaitu Wood Industry Skills Development Centre akan terus dinikmati oleh industri perkayuan Sabag,” katanya.
Pihaknya juga berperanan penting membangunkan usahawan bumiputera melalui usaha berterusan sejak penubuhan Taman Industri Perabot Sabah pada tahun 2007.
Ia bagi menyediakan asas kukuh bagi pengusaha IKS bumiputera melibatkan diri dalam pasaran terbuka dalam pembuatan perabot sama ada tempatan dan eskport serta peluang pembekalan bagi projek pembangunan dalam negara.
“Program pembangunan produk akan terus dijalankan menerusi kerjasama dengan pihak berkaitan seperti Pusat Kraftangan Sabah dan Artistry Fab Lab Mentah menerusi pendedahan, latihan kemahiran, pembangunan inkubator, pameran dan jualan produk nilai tambah seperti gazebo dan produk laser out,” katanya.- MalaysiaGazette