SHAH ALAM – Aktres popular, Fasha Sandha rasa teruja kerana dipilih menjadi duta kempen telekung sepanjang Ramadan ini walaupun dia belum berhijab ketika ini.
Wanita berusia 30 tahun itu pada mula berasa sangsi dengan tawaran yang diterima memandangkan penampilan dirinya namun tawaran itu diterima secara positif.
Menurutnya, ia mungkin ‘perjalanan’ untuknya berubah ke arah kebaikan secara perlahan-lahan selain produk telekung itu berkualiti tinggi.
“Pada mulanya, saya pun tertanya-tanya boleh ke menjadi duta kempen telekung kerana saya pun masih free hair.
“Namun sokongan pengurus selain pengasas produk yang memberikan semangat berjaya mengubah tanggapan negatif saya. Mereka berpendapat ini sebagai suntikan untuk saya berhijab satu hari nanti.
“Malah saya juga terharu kerana pengasas produk tidak menilai saya hanya kerana tidak berhijab. Katanya orang tidak pakai tudung pun kena pakai telekung untuk bersolat,” katanya enggan melayan kecaman netizen di media sosial.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pengumuman sebagai duta kempen telekung Bella Ammara sepanjang Ramadan ini bersama seorang lagi penyanyi, Zizi Kirana hari ini.
Turut hadir pengasas jenama busana Muslimah Bella Ammara, Sharifah Nabilla Al-Yahya Syed Shah.
Fasha juga tidak menetapkan tempoh untuk berhijab pada masa akan namun perkara itu pasti terjadi kelak.
Jelas ibu tiga anak itu, apa yang ditakutinya, dia tidak istiqomah selepas berhijab nanti.
“Saya memang merancang berhijrah namun tiada tempoh ditetapkan. Saya mahu berhijrah dari hati kerana saya tidak istoqomah selepas berhijrah dan buka balik.
“Itu yang takut kerana saya tidak sempurna. Mudah-mudahan berkat duta kempen telekung ini menjadi asbab saya berhijrah pada masa akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette