KUALA LUMPUR – Pelabur asing bertukar pembeli bersih untuk minggu berakhir pada 11 Februari, yang menyaksikan aliran masuk bersih berjumlah RM749.34 juta, dipengaruhi oleh data ekonomi Malaysia yang optimis.
Setakat ini, pelabur asing telah menjadi pembeli bersih di Bursa Malaysia selama empat daripada enam minggu dan belian bersih minggu lepas oleh pelabur asing merupakan yang tertinggi untuk tahun ini.
Belian bersih tertinggi sebelum ini adalah pada minggu kedua Januari (minggu berakhir 14 Januari) sebanyak RM397.85 juta
MIDF Research berkata, pelabur asing adalah pembeli bersih pada setiap hari dalam seminggu – sekali lagi, kali terakhir ini berlaku adalah pada minggu berakhir 14 Januari.
Aliran masuk asing terbesar dicatatkan pada hari Rabu sebanyak RM279.64 juta dan aliran masuk terkecil pada hari Isnin hanya RM21.82 juta.
Menurutnya, kadar aliran masuk bersih pelabur asing terus kukuh pada Khamis dan Jumaat, yangmana aliran masuk bersih masing-masing berjumlah RM228.44 juta dan RM165.36 juta.
Untuk minggu lepas, pelabur institusi tempatan adalah penjual aktif dengan aliran keluar bersih terbesar adalah pada hari Rabu dan terkecil pada hari Isnin, masing-masing berjumlah -RM261.35 juta dan -RM32.37 juta.
Manakala pelabur runcit juga sebagai penjual bersih pada setiap hari dalam seminggu kecuali pada hari Isnin dengan belian RM10.55 juta.
Firma penyelidikan itu menambah, jualan bersih terbesar dicatatkan pada Khamis pada -RM64.83 juta manakala jualan bersih terkecil pada hari Selasa pada -RM8.44 juta.
Secara keseluruhan, untuk minggu keenam 2022, pelabur asing sebagai pembeli bersih pada RM749.34 juta.
Sementara itu, pelabur runcit dan institusi tempatan adalah penjual bersih masing-masing pada -RM100.17 juta dan -RM649.18 juta.
Sehingga kini, pelabur asing melakukan belian sebanyak RM1.052 bilion manakala belian bersih pelabur runcit adalah marginal pada RM0.98 juta dan pelabur institusi pula adalah penjual bersih berjumlah -RM1.053 bilion. – MalaysiaGazette