KUALA KANGSAR – Seorang pemandu lori kontena cedera parah selepas kenderaan yang dipandunya terlibat kemalangan membabitkan sebuah lori treler dalam kejadian di Kilometer (KM) 231.4 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di sini, awal pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.54 pagi.
“Susulan panggilan itu, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar dikerah ke lokasi kejadian.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori kontena tersebut dikatakan melanggar bahagian belakang lori treler yang membawa muatan besi.
“Akibat pelanggaran itu, pemandu lori kontena kontena tersepit pada tempat duduk pemandu manakala pemandu treler pula tiada mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Tambah jurucakap itu, anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat khas sebelum diserahkan kepada petugas kesihatan untuk tindakan lanjut.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.04 pagi. – MalaysiaGazette