Home Nasional Isu pengambilan tanah punca RTB lewat

Isu pengambilan tanah punca RTB lewat

KUALA LUMPUR – Kelewatan pelaksanaan  projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembangan Sungai Pinang di Pulau Pinang berpunca daripada isu pengambilan semula tanah di kawasan berkenaan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata masalah perpindahan setinggan juga menyebabkan projek yang bernilai RM150 juta itu terlewat daripada jadual asal iaitu pada 2016.

Bercakap pada sidang media selepas melancarkan Hari Sungai Sedunia 2017 di sini hari ini, Wan Junaidi berkata pihaknya memberi jaminan projek itu akan diserahkan kepada kontraktor bermula pada awal Jan 2018 dan dijangka siap pada 2020.

 “Proses tender dah siap…pemilihan kontraktor sedang dijalankan, Insya-Allah kalau siap, ianya akan mengurangkan banjir…kalau berlaku hujan macam minggu lepas, ia tak seburuk yang berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata sebanyak 33 daripada 473 sungai yang dipantau Jabatan Alam Sekitar di seluruh negara dikenal pasti tercemar dan kebanyakannya berada dalam bandar  antaranya Sungai Juru dan Sungai Jelutong di Pulau Pinang, Sungai Penchala di ibu negara dan Sungai Semenyih, Selangor.

“Ia berpunca daripada kumbahan kilang dan domestik yang masih dialirkan ke sungai, ada juga …ini berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab rakyat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette