BUKIT KAYU HITAM – Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) menahan seramai 20 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang cuba masuk secara haram ke negara ini melalui sempadan Malaysia/Thailand.
Tangkapan dibuat di laluan haram Felda Bukit Tangga, sektor Op Benteng kawasan tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia.
Menurut kenyataan dikeluarkan 2 Divisyen, kira-kira jam 3.45 pagi semalam, tim rondaan yang melakukan menjalankan tugas di laluan sempadan itu telah ternampak sekumpulan orang awam dalam kedudukan meniarap dengan cubaan melintasi pagar sempadan Malaysia-Thailand.
Katanya, tim ronda kemudian membuat serbuan di lokasi kumpulan tersebut dan menahan serta melakukan pemeriksaan ke atas setiap individu.
“Hasil pemeriksaan mendapati 20 orang awam iaitu 17 lelaki dan tiga perempuan tersebut tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri dan disyaki sebagai Pati.
“Susulan itu, semua mereka ditahan dan dibawa ke Pos 5 untuk siasatan awal dan mendapati mereka merupakan adalah warganegara Myanmar berusia lingkungan 15 hingga 55 tahun,” kata kenyataan itu kepada media, hari ini.
Menurutnya, turut dirampas pelbagai barangan peribadi, telefon bimbit dan matawang Myanmar, Thailand serta Malaysia dengan anggaran nilai RM6,801.
Laporan polis dibuat di Balai Polis Bukit Kayu Hitam, manakala semua Pati itu diserahkan ke Jabatan Imigresen Malaysia, Anak Bukit, Alor Setar untuk tindakan lanjut.
Kata kenyataan itu, pasukan keselamatan sentiasa bersedia mengawal sepanjang masa dan meningkatkan lagi kesiagaan serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melakukan jenayah serta membolosi sempadan negara. – MalaysiaGazette