KLANG – Majlis Perbandaran Klang (MPK) tidak akan berkompromi terhadap peniaga warga asing dan peniaga tanpa lesen terutama sekitar pasar-pasar pagi di daerah ini.
Pengarah Komunikasi Korporat, Norfiza Mahfiz berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan lesen kepada peniaga warga asing manakala tindakan peniaga yang berniaga tanpa kebenaran seolah-olah menafikan hak peniaga yang mempunyai lesen.
Lantaran itu, MPK akan sentiasa memperhebatkan operasi dari semasa ke semasa.
“Datang ke MPK dan mohon lesen perniagaan serta jika semua syarat dipatuhi, lesen akan dikeluarkan.
“Jangan nafikan hak peniaga berlesen yang komited dan mematuhi undang-undang, manakala anda (peniaga haram) sesuka hati berniaga membelakangi peraturan,” katanya.
Dalam pada itu,Timbalan Pengarah Penguatkuasa, Shahrul Hazri Abd Majid berkata, sebanyak 36 sitaan termasuk 29 peniaga tempatan dan enam warga asing dilakukan pada tahun lalu dan 22 sitaan (21 peniaga tempatan dan 1 warga asing) bagi 2021 di Pasar Pagi Jalan Papan, Pandamaran.
Terbaharu, pada Ahad lepas, tiga peniaga disita termasuk seorang penjaja warga tempatan kerana berniaga tanpa permit.
Seorang lagi penjaja warga asing dikenakan tindakan kompaun manakala sitaan terhadap penjaja warga asing di bawah kesalahan Undang-Undang Kecil Penjaja MPK 2007,” katanya. – MalaysiaGazette