Home Nasional Kamera badan atasi isu intergriti, lindungi penguatkuasa daripada tuduhan tanpa asas –...

Kamera badan atasi isu intergriti, lindungi penguatkuasa daripada tuduhan tanpa asas – CUEPACS

Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kamera badan dapat mengatasi isu integriti dan melindungi seseorang menjadi mangsa penganiayaan
dalam kalangan anggota penguatkuasa agensi kerajaan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat berkata, pemakaian kamera badan akan mengelakkan berlakunya tuduhan tanpa bukti kukuh terhadap anggota penguatkuasa.

“Melalui penggunaan kamera badan ini ia sedikit sebanyak melindungi anggota penguatkuasa daripada tuduhan yang bersifat berat sebelah atau bukti daripada sebelah pihak sahaja.

“Selain itu penggunaan kamera badan juga boleh memaparkan aspek positif dalam tugasan yang dilakukan sekali gus meningkatkan keyakinan awam.

“Tiada lagi isu yang boleh dijadikan alasan oleh orang awam untuk menafikan apa jua tindakan mereka yang bertentangan undang-undang negara,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun beliau memohon agar kajian terperinci dilaksanakan oleh setiap agensi penguatkuasaan sebelum melaksanakan pemakaian kamera badan ketika bertugas.

Ujar Adnan, kamera badan perlu dipastikan berkualiti tinggi agar memberi impak positif tujuan pemakaiannya.

“CUEPACS juga mencadangkan supaya kamera badan yang digunakan dibuat kajian keberkesanannya terlebih dahulu untuk suatu tempoh yang sesuai, sebelum diperluaskan kepada semua pegawai dan anggota yang berkaitan bagi memastikan penggunaannya memberikan impak yang tertinggi kepada peningkatan integriti dan reputasi agensi penguatkuasaan berkenaan,” tambah beliau.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan 1, Mohd Shahar Abdullah dilaporkan berkata, pemakaian kamera badan dalam kalangan anggota penguatkuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merupakan antara langkah bagi meningkatkan integriti pasukan itu, selain usaha menyelamat anggota kastam yang kerap dituduh terbabit dalam aktiviti rasuah.

Anggota penguat kuasa agensi berkenaan dijangka dilengkapi peralatan kamera badan bermula Jun ini dalam usaha menangani salah laku dalam kalangan pasukan beruniform itu.-MalaysiaGazette