Home Nasional Motor milik OKU, EV diberi insentif pengecualian LKM

Motor milik OKU, EV diberi insentif pengecualian LKM

Hanya kerana mahu lulus ujian memandu, seorang penuntut kolej bertindak di luar jangkaan dengan mengacukan sebilah pisau kepada seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Kenderaan motor elektrik (EV) dan Kenderaan Motor milik Orang Kelainan Upaya (OKU) akan diberi insentif pengecualian bayaran fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) sepenuhnya selaras dengan pengumuman kerajaan melalui Bajet 2022..- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kenderaan motor elektrik (EV) dan Kenderaan Motor milik Orang Kelainan Upaya (OKU) akan diberi insentif pengecualian bayaran fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) sepenuhnya selaras dengan pengumuman kerajaan melalui Bajet 2022.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, EV yang dipacu oleh sumber elektrik diberi tempoh pengecualian dari 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2025.

Pengecualian fi LKM bagi EV hanyalah melibatkan kenderaan yang dipacu oleh sumber elektrik sepenuhnya sahaja, sama ada yang dikuasakan dengan bateri atau fuel cell sahaja.

Pengecualian ini tidak terpakai kepada mana-mana kenderaan motor jenis hibrid yang masih mempunyai enjin pembakaran dalaman sama ada dengan sumber petrol mahu pun diesel.

Menurutnya, permohonan bagi mendapatkan pengecualian ini adalah mulai pada 15 Februari 2022.

Manakala kenderaan motor milik OKU sepenuhnya hanyalah terpakai kepada kenderaan motor yang telah diubahsuai khas untuk kegunaan OKU atau bagi kenderaan motor yang tidak diubahsuai.

Katanya, pengecualian hanya kepada kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan kereta nasional sahaja.

Kenderaan motor terbabit hendaklah didaftarkan dan dilesenkan di atas nama individu OKU tersebut dan individu OKU hendaklah telah berdaftar serta mempunyai kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pengecualian juga dipanjangkan kepada kenderaan motor yang didaftarkan/dimiliki oleh ibu bapa/penjaga yang berdaftar dan mempunyai anak OKU serta pasangan suami/isteri yang mempunyai pasangan OKU, dengan syarat individu OKU terbabit juga telah berdaftar dengan JKM. Permohonan bagi mendapatkan pengecualian ini adalah mulai pada 15 Mac 2022.

Ka Siong menambah, mana-mana pemilik kenderaan dengan dua kategori pengecualian di atas yang telah melesenkan kenderaan mereka (LKMbaharu atau pembaharuan) mulai 1 Januari 2022 iaitu sebelum daripada tarikh mula permohonan boleh dikemukakan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pemilik kenderaan atau wakil boleh hadir ke kaunter JPJ untuk menyerahkan balik LKM tersebut dan berhak dibayar dengan cara rebat apa-apa amaun sebagaimana yang ditetapkan.

Seterusnya, pemilik kenderaan atau wakil boleh memohon bagi mendapatkan pengecualian LKM semula ke atas kenderaan mereka mengikut ketetapan di atas. – MalaysiaGazette