KUANTAN – Kerajaan Pusat memperuntukkan sebanyak RM27 juta bagi menyelenggara sebanyak 48 jalan Persekutuan yang mengalami kerosokan akibat bencana banjir di Pahang akibat Monsun Timur Laut.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman berkata, kerja pembaikan jalan tersebut akan dilakukan secara berperingkat.
“Sehingga kini, kerja-kerja pembaikan dilaksanakan dengan baik dan sebanyak 17 peratus daripada 48 lokasi yang telah dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum itu, beliau mengadakan Lawatan Pasca Banjir di Dewan Majlis Perbandaran Bentong dekat sini hari ini.
Antara jalan yang terlibat Jalan Kuala Lumpur-Kuantan (FT002), Jalan Karak-Manchis (FT009), Jalan Utama Bera(FT1510) dan Jalan Benta-Jerantut-Maran (9FT064).
“Kerja pembaikan tebing sungai di KM74.4-75.1 dan KM78-78.2 telah siap sepenuhnya manakala kerja baik pulih cerun serta perparitan di KM66-66.7 dijangka siap pada April depan,” katanya. – MalaysiaGazette