Home Politik PRN Johor: PKR tampil 3 muka baharu zon utara

PRN Johor: PKR tampil 3 muka baharu zon utara

Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Tujuh lagi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diumumkan presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini.

Tiga daripada tujuh calon itu adalah muka baharu iaitu C. Subramani di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Kasap, Yong Thau di DUN Pemanis dan Azmi Masrani bagi DUN Sri Medan.

“Kita sudah buat keputusan, hormat keputusan. Saya harap Mohd Khuzzan Abu Bakar (calon DUN Semerah) ambil ikhtibar supaya menyantuni sesiapa yang kurang berpuas hati, saya ingat ini perkara biasa,” katanya selepas mengumumkan senarai calon bagi zon utara PKR pada PRN Johor.

Ketika Anwar mengumumkan nama Mohd Khuzzan sebagai calon mempertahankan kerusi DUN Semerah, ada suara-suara ahli parti seperti tidak setuju.

PKR turut mengetengahkan dua penyandang kerusi DUN Bukit Naning, Md. Ysahrudin Kusni bagi mempertahankan DUN Bukit Naning.

Dalam pada itu, kerusi DUN Gambir PKR mengetengahkan Na’im Jusri yang sebelum ini pernah bertanding di DUN Sungai Balang ketika Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14)  lalu.

Menggantikan Na’im di Sungai Balang adalah calon PRU-14, Abdullah Sahid bagi DUN Sungai Balang.

Awal hari ini, Anwar memgumumkan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik selaku calon parti itu di DUN Layang-layang.

Selain itu, lima lagi calon bagi zon selatan diumumkan hari ini.

Mereka adalah S. Gopalakrishnan (DUN Tiram), Dr Zamil Najwah Arbain (DUN Larkin), Napsiah Khamis Maharan (Kempas), Fakhruddin Moslim(DUN Pasir Raja) dan Arthur Chiong Sen Sern (Bukit Batu).

Untuk rekod, Pakatan Harapan memuktamadkan bahawa PKR akan bertanding 20 kerusi, Parti Amanah Negara (Amanah) 20 kerusi manakala DAP sebanyak 16 kerusi.

Bagaimanapun, DAP dan Amanah memperuntukkan enam kerusi kepada parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk ditandingi pada PRN kali ini.

Enam kerusi itu adalah DUN Tenang, DUN Bukit Kepong, DUN Parit Raja, DUN Machap, DUN Puteri Wangsa dan DUN Bukit Permai. – MalaysiaGazette