Home Ekonomi Mohd Azhidi didakwa 9 pertuduhan tipu pelaburan tak wujud – SC

Mohd Azhidi didakwa 9 pertuduhan tipu pelaburan tak wujud – SC

Suruhanjaya Sekuriti

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengenakan pertuduhan terhadap Mohd Azhidi Laili atas pelanggaran pelbagai undang-undang sekuriti berkaitan aktiviti tidak berlesen dan menipu wang sembilan pelabur sebanyak hampir RM1.45 juta antara Mei 2013 dan Mac 2014.

Azhidi menyatakan kepada sembilan mangsa itu bahawa mereka melabur dalam skim pelaburan niaga hadapan minyak sawit mentah di bawah AmFutures Sdn Bhd, walhal skim tersebut tidak wujud dalam AmFutures Sdn Bhd.

Pada Julai 2021, SC telah memperoleh waran tangkap terhadap Azhidi apabila usaha untuk mengesannya sejak 2015 gagal. Azhidi telah ditangkap pada 12 Februari 2022.

Azhidi telah dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam untuk didakwa dengan sembilan pertuduhan di bawah subseksyen 206(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang RM1 juta.

Di samping itu, SC mengenakan pertuduhan terhadap Azhidi kerana mengaku sebagai pedagang niaga hadapan tanpa Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal, satu kesalahan di bawah subseksyen 59(1) CMSA, dan membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM5 juta, atau kedua-duanya.

Azhidi juga menghadapi satu lagi pertuduhan di bawah subseksyen 134(5)(a) Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993 kerana gagal mematuhi Notis SC untuk hadir di hadapan Pegawai Penyiasat SC pada 13 Februari 2018 dan jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM1 juta.

Hakim Mahkamah Sesyen Kamarudin Kamsun membenarkan ikat jamin sebanyak RM250,000 dengan dua penjamin.

Di samping itu, hakim memerintahkan tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan tertuduh juga dikehendaki melaporkan diri kepada Pegawai Penyiasat SC setiap bulan sehingga selesai perbicaraan.

SC mengingatkan pelabur agar sentiasa berhati-hati apabila mempertimbangkan peluang pelaburan melalui pelbagai kempen kesedaran anti-scam.

Senarai Peringatan Pelabur SC sentiasa dikemas kini untuk membimbing orang ramai untuk mengenal pasti platform, syarikat dan individu yang tidak diberi kebenaran/tidak berlesen. – MalaysiaGazette